SHAH ALAM: Dianggarkan sebanyak 150 kes rumah terbakar atau purata lima buah dalam sehari dilaporkan berlaku di negeri ini sepanjang Ramadan.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, jumlah tersebut berdasarkan rekod laporan yang diterima oleh JBPM Selangor bagi tempoh berkenaan dan jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu.
“Kebanyakan kes kebakaran rumah yang berlaku dikenal pasti berpunca daripada litar pintas, lupa tutup suis pada beberapa peralatan elektrik, tidak menutup api dapur dan lain-lain.
“Namun, kita tidak pernah dan belum menerima laporan kebakaran yang disebabkan bermain mercun atau memasak kuih raya,” katanya selepas merasmikan majlis Kempen Keselamatan Musim Perayaan anjuran JBPM Selangor di pusat membeli-belah Central I-City di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun kesemua kebakaran yang berlaku dalam tempoh tersebut tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.
Justeru, Norazam menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman bermula hujung minggu ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya prihatin dan mengambil langkah berjaga-jaga mencegah daripada berlaku kebakaran ketika tiada di rumah.
“Tutup suis-suis yang tidak digunakan dan gas dapur sebelum keluar rumah dan pastikan tiada peralatan yang mudah terbakar terdedah, ia perlu disimpan rapi.
“Ambil langkah berjaga-jaga, selain itu pandu dengan berhati-hati, saya doakan mereka yang pulang ke kampung supaya selamat ke destinasi masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN