SEREMBAN: Perubahan pemain di barisan hadapan yang dilakukan pada separuh masa kedua telah membuahkan hasil buat pasukan Negeri Sembilan FC apabila berjaya memberikan tiga mata berharga dalam aksi Liga Super menentang Petaling Jaya City (PJ City), malam kelmarin.
Pengendali Negeri Sembilan, K. Devan berkata, pertukaran beberapa pemain di barisan hadapan itu telah membawa kepada dua gol pada 10 minit terakhir perlawanan sekali gus kemenangan kedua untuk pasukan musim ini.
“Babak pertama kami berjaya mengawal permainan dan menghasilkan peluang jaringan namun gagal sehinggalah mendapat sepakan penalti di hujung separuh masa. Namun di separuh masa kedua kami sedikit hilang konsentrasi sehingga PJ City dapat menyamakan kedudukan.
“Di bahagian atas kami tidak dapat membuat tekanan dan nampak penyerang tidak dapat menjalankan tugas mereka. Selepas itu saya fikir perlu buat pertukaran dan ia menjadi hari ini (kelmarin) dan pemain menjalankan tugas mereka dengan baik dan kami berjaya dapatkan dua gol,” katanya selepas tamat perlawanan di antara Negeri Sembilan dan PJ City di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini kelmarin.
Negeri Sembilan meraih kemenangan 3-1 ke atas PJ City hasil jaringan Herold Goulon, Sean Eugene Selvaraj dan Matheus Alves Leandro manakala gol saguhati pelawat dijaringkan oleh Darren Lok.
Sementara itu, Devan turut memuji prestasi Sean Selvaraj yang disifatkan telah menjalankan tugas dengan baik.
Bagi Sean, dia berbangga apabila berjaya menjaringkan gol pertamanya musim ini dan lebih penting membantu pasukan Negeri Sembilan meraih tiga mata di halaman sendiri.
“Jika saya tidak menjaringkan gol tidak mengapa tetapi saya perlu mencipta peluang kepada pemain-pemain lain.
“Tiga mata dalam perlawanan ini sangat penting untuk kami dan saya amat berbangga dengan prestasi semua,”ujarnya.