GEORGETOWN: Penang FC masih menantikan kemenangan sulung mereka pada saingan Liga Super musim ini, malah dilihat masih tercari-cari bentuk kelemahan yang perlu diperbaiki untuk diterjemahkan dalam pasukan.
Ketua Jurulatihnya, Tomas Trucha berkata, dia belum lagi mencapai tahap kepuasan dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan keenam itu sekali gus mengharapkan tuah menyebelahi pasukannya nanti.
Menurutnya, biarpun berdepan banyak peluang jaringan gol namun pasukannya perlu terus mempamerkan yang terbaik demi kemenangan pertama buat skuad Harimau Kumbang musim ini.
“Kami perlu bangkit dan terus bekerja keras dalam latihan. Kami perlu memang pada perlawanan seterusnya dan berharap tuah berpihak kepada kami nanti.
“Mereka (pemain) juga dilihat tidak gembira dengan keputusan perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) di laman sendiri malam tadi (kelmarin) meskipun beberapa kali cuba membuat jaringan.
“Saya akan lakukan analisa bagi memperbaiki kelemahan pasukan daripada pelbagai sudut dan yakin dapat mencipta kemenangan pada perlawanan akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam kelmarin.
Jelas Trucha, dalam perlawanan ‘derby’ utara itu, beliau sedaya upaya cuba menggantikan posisi tiga pemain utama iaitu Anselmo Arruda da Silva, Rafael Vitor Santos dan Muhammad Adib Abdul Ra’op yang direhatkan ekoran kecederaan.
“Ketiadaan ketiga-tiga mereka telah memaksa kami menukar corak permainan pada perlawanan malam tadi (kelmarin) namun masih berupaya memperoleh jaringan sulung biarpun Kedah dilihat menguasai perlawanan pada masa pertama,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak gembira apabila pasukannya berjaya mendominasikan corak permainan pada babak pertama berbanding perlawanan sebelum ini.
“Alhamdulillah…pemain mempamerkam aksi cemerlang dan mereka berjaya mengawal perlawanan sehingga babak kedua berakhir. Mereka juga tidak menyerah kalah meskipun banyak peluang gol yang terlepas.
“Mentaliti para pemain juga adalah untuk menang dan bukan mudah untuk peroleh tiga mata di tempat lawan,” jelasnya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Penang membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Lubnan, Hilal AlHelwe pada minit ke-16 namun Kedah bangkit dengan dua gol pada babak kedua hasil ledakan Ronald Ngah Wanja.