Peluang JDT melangkah lebih jauh - Utusan Malaysia

Peluang JDT melangkah lebih jauh

PENGENDALI JDT Benjamin Mora bersama kapten Ignacio Insa pada sidang media kejohanan Liga Juara Juara Asia (ACL) kumpulan I sempena perlawanan pembukaan menentang Guangzhou FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI Pemberita: Khairul
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki peluang terbaik untuk mencipta sejarah baharu untuk kelab tersebut di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim ini.

Kelebihan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim dalam semua perlawanan peringkat Kumpulan I bermula esok hingga hujung bulan ini, harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mereka.

Kali pertama JDT beraksi di peringkat kumpulan ACL adalah pada 2019 dan sepanjang tempoh berkenaan mereka gagal untuk mara lebih jauh.

Bagi pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora berkata tidak salah untuk pasukanya memasang impian dan bercita-cita tinggi bagi melepasi saingan peringkat kumpulan.

Malah mereka sedar impian sahaja tidak mencukupi, sebaliknya ia perlu disertakan dengan komitmen dan kerja keras bagi menjadikannya realiti.

“Kita perlu mempunyai impian untuk melepasi peringkat kumpulan, tidak salah untuk kita memasang impian itu kerana perkara itu tidak perlu dibayar, sebaliknya ia penting untuk memberi lebih motivasi kepada pemain.

“Tetapi kami tahu impian sahaja tidak cukup jadi kita perlu bertindak dan saya percaya dengan kemampuan pemain JDT.

“Ketika ini kita mempunyai momentum yang baik khususnya dalam liga tempatan, jadi kita mahu kekalkan momentum itu dalam saingan ACL pula,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mora akui skuad Harimau Selatan adalah paling ‘kerdil’ jika dibandingkan dengan pasukan lain yang bersaing dalam Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang akan bermula hari ini.

BARISAN pemain JDT gigih menjalani latihan menjelang aksi pertama Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia, hari ini.

Begitupun, JDT bersedia melakar kejutan pada kempen kali ini apabila Stadium Sultan Ibrahim dipilih, menjadi tuan rumah bagi saingan peringkat Kumpulan I.

Skuad kendalian Mora akan membuka tirai saingan berdepan Guangzhou FC, malam ini dan pengendali dari Mexico itu mengingatkan pemainnya agar tidak mengambil mudah cabaran lawannya yang akan menampilkan pasukan kedua mereka yang mana rata-ratanya pemain berusia bawah 22 tahun.

“Saya tidak mahu melihat pemain bola daripada sudut usia muda atau tua, sebaliknya saya melihat mereka daripada sudut seorang pemain bola sepak yang baik atau tidak, itu tiada kaitan dengan usia mereka.

“Kita tidak boleh menganggap mereka muda jadi kurang pengalaman, sebaliknya pemain muda pastinya lebih bersemangat untuk melakar kejayaan.

“Guangzhou merupakan nama besar di China dan juga Asia, mereka telah melakar banyak kejayaan jadi walaupun pasukan yang dihantar adalah pasukan kedua, kami tetap berdepan mereka dengan status kelab berkenaan,” katanya pada sidang media pra-perlawanan antara kedua-dua pasukan, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pasukannya mempunyai kelebihan berbanding pencabar lain dalam kumpulan berkenaan apabila akan bermain semua permainan di gelanggang sendiri iaitu di Stadium Sultan Ibrahim.

“Kita mempunyai sedikit kelebihan, kita akan bermain sebagai tuan rumah dengan persekitaran yang sudah menjadi kebiasaan, kita sudah biasa dengan padang dan cuaca di sini.

“Selain itu, bermain di hadapan keluarga dan peminat tempatan juga pastinya akan beri kelebihan, jadi kita akan gunakan semua kelebihan yang ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, keputusan sama ada penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias bakal diturunkan dalam perlawanan esok belum diketahui ekoran kecederaan yang dihadapi ketika perlawanan menentang Terengganu FC, Ahad lalu.

“Buat masa ini masih belum tahu sama ada Farizal akan diturunkan atau tidak, kita akan dapatkan keputusan terkini beliau hari ini. Dia memang sudah pulih tetapi mungkin belum 100 peratus, jadi kita tunggu dan lihat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN