KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) perlu berubah dan melakukan transformasi jika mahu kembali relevan dalam landskap politik negara.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan lama sebaliknya melakukan perubahan selaras dengan peredaran semasa selain mengambil iktibar daripada sejarah, khususnya kegagalan meraih sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Menurut beliau, sebarang perubahan yang dilaksanakan mestilah dirancang secara tersusun dan kolektif, berasaskan asas yang kukuh serta berpandukan perlembagaan parti.
“Tempoh 58 tahun ini amat penting bagi Gerakan kerana tidak lama lagi kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PRN Melaka serta kemungkinan besar PRU pada hujung tahun.
“Oleh itu, kita perlu berubah. Ubah bermaksud kita perlu melakukan transformasi. Kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama dalam menghadapi kempen-kempen akan datang.
“Namun, perubahan itu mesti berasaskan asas yang kukuh. Paling penting, seperti tema kita, ialah satu hati. Jika kita mahu menang dan memperoleh mandat rakyat, seluruh parti, dari akar umbi hingga kepimpinan mesti bersatu,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Parti Gerakan Ke-58 di Menara PGRM, di sini hari ini.
Sementara itu, Dominic Lau turut menyeru ahli parti itu agar mengetepikan sebarang agenda peribadi dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, Gerakan mengamalkan demokrasi, namun sebarang kritikan perlu berasaskan kepentingan parti dan setiap keputusan kolektif wajib dipatuhi.
“Jika parti tidak relevan, maka kita juga tidak akan relevan malah jika kita terus mementingkan agenda peribadi, seolah-olah kita memberi peluru kepada pihak lawan untuk menyerang parti.
“Jika ada yang mahu melihat Gerakan tidak relevan, silakan teruskan,” katanya.-UTUSAN










