ISKANDAR PUTERI: Harimau Selatan sudah bersiap sedia untuk berdepan cabaran getir menentang kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC pada aksi kedua Kumpulan I Piala Juara-juara Asia (ACL), malam ini.
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora sedar pertemuan itu bukan tugas mudah buat mereka kerana lawan kali ini adalah pasukan yang bermain di tahap tinggi selain diperkuat beberapa pemain import yang berkualiti.
Bagaimanapun, Mora bertegas mereka tidak akan terlalu menghormati pasukan lawan kerana anak buahnya juga sudah bersedia dengan corak permainan fizikal yang akan digunakan lawan serta cuba menyaingi kekuatan lawan selain mengintai peluang untuk mencipta kejutan.
“Ulsan Hyundai adalah pasukan yang bagus, kuat dan bertenaga, mereka mampu pamer aksi terbaik apabila bermain di gelanggang terbaik seperti Stadium Sultan Ibrahim. Pada perlawanan pertama, mereka bermain pada waktu petang, mungkin faktor cuaca mengekang mereka pamer aksi sebenar mereka.
“Bagaimanapun, kami sudah bersedia dari setiap aspek untuk hadapi mereka malah bersedia untuk menunjukkan kepada mereka kemampuan JDT untuk mengekang kemaraan serta menyaingi mereka. Sudah tentu ia menjadi perlawanan sukar buat kami, tetapi itulah alasan kami berada di kejohanan ini, mencabar kemampuan pasukan.
“Kami suka untuk menempa rekod baharu dan mencabar keupayaan diri, jika sebelum ini kita tidak pernah menewaskan pasukan dari Jepun dan Korea Selatan, rekod itu sudah dicipta setelah menewaskan Kashima Antlers dan Suwon Bluewings sebelum ini, kami perlu tahu untuk mencabar diri kami,” ujarnya.

Mora berkata, gandingan penyerang import, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri akan terus menjadi sandaran pasukan untuk mengintai peluang merobek kubu lawan bagi meneruskan rentak kemenangan setelah menewaskan Guangzhou FC 5-0 pada aksi pembukaan Jumaat lalu.
Katanya, Bergson yang kembali menemui sentuhan jaringan pada kejohanan itu dilihat mampu menggalas tanggungjawab sebagai mesin gol pada perlawanan penting seperti ini kerana dia mempunyai kualiti yang ada pada seorang penyerang berbisa.
“Bergson dilihat mampu membentuk gandingan yang baik dengan Forestieri, jadi apabila keadaan berjalan lancar dan berkesan, saya cuba untuk tidak masuk campur. Saya cuma hanya akan beri sokongan serta keyakinan kepadanya kerana dia sudah cukup terbaik.
“Saya tidak akan sentuh Bergson, dia seorang pemain yang berkemahiran tinggi, berkualiti dan bijak mencari ruang serta bermain secara berpasukan. Dia juga mampu bermain di tahap tinggi dan mampu mencipta gol di saat kami memerlukan,” katanya.
Ditanya mengenai barisan pertahanannya, beliau masih belum dapat memberi kata putus sama Shahrul Saad dan Matthew Davies cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada perlawanan tersebut.