Ini cukup luar biasa - Mora - Utusan Malaysia

Ini cukup luar biasa – Mora

Penyerang JDT Fernando Forestieri diraikan oleh rakan pasukan apabila menjaringkan gol pertama JDT ketika menentang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, kelmarin. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berasa amat teruja setelah pemainnya mencipta kejayaan luar biasa menundukkan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC pada aksi Kumpulan I Liga Juara-juara Asia (ACL), di sini, kelmarin.

Mora berkata, keputusan seperti itu ketika berdepan kelab gergasi Asia dalam saingan ACL bukanlah sukar dicapai sekiranya pemain menunjukkan kesungguhan di atas padang dan bermati-matian membuktikan keupayaan mereka sepanjang perlawanan.

Walaupun JDT hanyalah kelab kerdil di peta Asia, Mora memberitahu, status itu membuatkan pasukan lebih berkobar-kobar dan bersemangat tinggi untuk cuba menyaingi pasukan lawan yang lebih ternama bagi meraih kemenangan.

“Saya terangkan kepada pemain walaupun kita bukan setaraf pasukan lawan, itu tidak bermakna kita tidak boleh melakukan ‘high pressing’ dan berikan tentangan kerana kita juga mempunyai pemain berkualiti yang mampu menyaingi mereka.

“Kualiti yang ada pada Bergson Da Silva mampu untuk sertai mana-mana kelab Eropah ketika ini dan Fernando Forestieri juga ada pengalaman beraksi di Eropah. Akhirnya, usaha kami membuahkan hasil berjaya memperoleh gol awal.

“Ada masanya skor gol awal beri tekanan buat kami untuk pertahankan kedudukan itu dalam masa sama menyuntik semangat pemain. Bagaimanapun pemain sudah melakukan yang terbaik walaupun ada ketika sukar mengekalkan taktik permainan yang diterapkan,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Kemenangan menewaskan bekas juara ACL musim 2020 itu berjaya meletakkan JDT di kedudukan pertama Kumpulan I selepas mengutip enam mata menerusi dua perlawanan.

Mora turut memberikan pujian kepada pemain gantian yang dibawa masuk kerana mampu memikul tugas dengan baik tanpa menjejaskan rentak permainan dan memberikan aksi terbaik pada tahap yang tinggi.

“Ini adalah pentas untuk mengukur kemampuan pasukan apabila berentap dengan kelab gergasi Asia. Sebagai pasukan kerdil, JDT perlu lebih bertenaga, semangat serta kekuatan mental untuk bersaing dengan pasukan terbaik seterusnya meraih kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, Bergson yang meledak gol kemenangan JDT pada perlawanan itu berkata kejayaan mengutip tiga mata itu adalah usaha kolektif sebuah pasukan yang sanggup berusaha keras demi kelab yang dicintai.

“Kejayaan ini adalah hasil permainan secara berpasukan. Usaha keras rakan sepasukan mengubah mentaliti saya untuk berusaha lebih keras dan membuktikan Bergson yang ada hari ini adalah versi yang lebih baik banding sebelum ini,” katanya.

Bergson kita meledak empat gol dalam dua perlawanan, satu peningkatan drastik berbanding tidak ada jaringan dilakukan pada saingan ACL musim lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN