Cubaan seludup 14kg dadah ke Singapura: PDRM bantu kesan sindiket

Cubaan seludup 14kg dadah ke Singapura: PDRM bantu kesan sindiket

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura sedang berlangsung, susulan penahanan penunggang motosikal warga Malaysia yang cuba menyeludup lebih 14 kilogram (kg) dadah ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, CNB Singapura telah menghubungi PDRM berkaitan perkara itu.

“JSJN sedang bekerjasama dengan CNB Singapura untuk berkongsi maklumat berkaitan.

“Kita juga akan membuat tindakan lanjut mengesan sindiket terbabit yang berada di Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, seorang penunggang motosikal warga Malaysia dilaporkan ditahan selepas cuba menyeludup lebih 14kg heroin dan dadah lain ke Singapura.

Ia merupakan satu daripada dua kes yang berjaya digagalkan di pusat pemeriksaan darat republik itu, minggu ini.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) memaklumkan, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 17 Mac lalu selepas pegawainya mengarahkan motosikal miliknya diperiksa lanjut.

ICA berkata, menemukan beberapa bungkusan hitam yang disorok dalam ruang simpanan belakang.
Pemeriksaan lanjut menemukan 25 bungkusan dipercayai mengandungi dadah terkawal.

Rampasan itu termasuk kira-kira 14kg heroin, 2.6kg methamphetamine atau syabu serta 190 gram (g) ekstasi. Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN