ACATA mahu bantu rakyat atasi masalah ketagihan

ACATA mahu bantu rakyat atasi masalah ketagihan

RAKYAT
Dr. Arifin Fii
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETAGIHAN merupakan satu penyakit kompleks yang dengan hampir satu abad penyelidikan saintifik telah menghasilkan pemahaman yang lebih mendalam berkenaan masalah ini. Oleh kerana sifat ketagihan yang kompleks, dunia perubatan berbeza pendapat dan pandangan berkenaan rawatan penyakit ini. 

Dengan pengalaman hampir 30 tahun sebagai pengamal perubatan yang banyak memberikan tumpuan kepada rawatan ketagihan, Dr. Arifin Fii berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman beliau bagi membantu rakyat negara ini mengatasi masalah ketagihan. 

Beliau yang merupakan Presiden Advanced Centre for Addiction Treatment Advocacy (ACATA) menjelaskan bahawa ketagihan terbahagi kepada dua jenis yaitu ketagihan bahan kimia (substance addiction) dan ketagihan tabiat/tingkah laku (behavioural addiction). 

Di negara ini, tumpuan utama diberikan kepada rawatan musuh utama negara yaitu ketagihan dadah opiate seperti heroine dan cannabis. Bermula dengan rawatan yang mengambil kaedah nyah total (total abstinence) dengan penangkapan dan pemulihan penagih penagih di pusat pusat pemulihan, pihak kementerian kesihatan telah mula sejak 10 tahun ini menggunakan kaedah rawatan pengurangan kemudaratan seperti menggunakan terapi dadah gantian dan pembekalan jarum dan picagari percuma (NSEP). Dadah gantian yang digunakan antaranya adalah methadone dan subuxone.  

Kes HIV

Rawatan dengan pendekatan pengurangan kemudaratan ini telah membuktikan kejayaannya dengan pengurangan ketara kes kes HIV dikalangan penagih penagih dan menyaksikan ramai bekas bekas penagih kembali kepangkuan masyarakat dan menjadi insan insan yang produktif.  

Menyedari bahawa masalah ketagihan ini boleh dirawat dengan pelbagai pendekatan, Dr. Arifin dan beberapa pakar kesihatan telah menubuhkan satu organisasi bukan kerajaan (NGO), ACATA bagi menawarkan pandangan, nasihat dan saranan didalam rawatan ketagihan berdasarkan bukti dan kajian saintifik. ACATA juga bersedia untuk bekerjasama dengan agensi tempatan didalam pengolahan rawatan berkaitan ketagihan. 

Bukti bukti dari kajian kajian saintifik yang berkesan seharusnya menjadi dasar rawatan ketagihan dan ACATA berharap akan keterbukaan dan kerjasama pihak berkuasa untuk menerima pakai cadangan dan saranan yang terbukti secara saintifik berkesan dan bermanfaat untuk kesihatan yang bakal diajukan. 

Terkini, ACATA, berdasarkan kejayaan rawatan dengan pendekatan pengurangan kemudharatan opiates, sedang berusaha memberi beberapa cadangan untuk rawatan ketagihan yang paling banyak menyebabkan kematian yaitu ketagihan rokok. Rokok merupakan pembunuh akibat ketagihan terbesar didunia yang saban tahun meragut hampir 8 juta nyawa. 

Seperti rawatan rawatan ketagihan yang lain, komuniti perubatan juga mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan yang berbeza didalam kaedah rawatan ketagihan tembakau. 

Kaedah rawatan standard sedia ada seperti terapi gantian nikotin (NRT) dan kaunseling telah menunjukkan kejayaan. Akan tetapi kadar kejayaannya adalah kecil. Laporan menunjukkan dalam tempoh tujuh tahun, seramai 73,836 perokok menyertai program berhenti merokok di negara ini tetapi hanya 16,930 atau 23 peratus perokok yang berjaya berhenti untuk tempoh enam bulan. Lebih membimbangkan, jumlah perokok di Malaysia masih ramai yaitu 5 juta. 

Komuniti

Mutakhir ini, sebahagian komuniti perubatan mencadangkan rawatan pengurangan kemudaratan tembakau menggunakan peranti pemberian nikotin berasaskan teknologi seperti e-cigarette atau lebih dikenali sebagai vape. Beberapa kajian saintifik tempatan dan antarabangsa telah membuktikan kejayaan penggunaan vape untuk berhenti merokok atau pengurangan jumlah rokok yang digunakan. 

Adalah disarankan supaya lebih banyak kajian kajian tempatan untuk membuktikan keberkesanan peranti peranti seumpama ini dijalankan dan ACATA selaku pertubuhan NGO tempatan sedang berusaha melakukan kajian tersebut. 

Selain ketagihan bahan kimia (substance addiction) seperti opiates dan tembakau, ACATA juga akan memberi tumpuan kepada rawatan ketagihan tabiat/tingkah laku (behavioural addiction). Antara ketagihan terbesar adalah ketagihan makanan seperti pengambilan gula berlebihan. Ketagihan ini telah terbukti menyebabkan pelbagai penyakit penyakit kronik. 

ACATA, bagi menjayakan matlamat pertubuhan, akan bekerjasama dan bertukar pandangan dengan semua agensi dan NGO tempatan maupun antarabangsa. Melalui kerjasama ini ACATA akan menjalankan beberapa sessi dialog dan seminar untuk memberikan kesedaran dan pendidikan kepada umum.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya