10 tahun tempuh kesesakan tiga kilometer

10 tahun tempuh kesesakan tiga kilometer

KESESAKAN di Persimpangan Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Penduduk pekan Durian Tunggal mengeluh kerana terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya yang menjangkau sehingga tiga kilometer pada waktu puncak sejak 10 tahun lalu.

Kata mereka, pertambahan kenderaan dan kawasan perumahan di sekitar kawasan itu serta tiada langkah mengatasi masalah tersebut oleh pihak berkuasa tempatan menjadikan masalah kesesakan tidak pernah selesai.

Seorang peniaga, Muhammad Farhan Mohd. Kamluruddin berkata, jumlah kenderaan bertambah dari semua arah dan memohon polis trafik kembali mengawal keadaan di situ terutama pada waktu puncak.

“Saya rasa kali terakhir mereka dilihat bertugas di situ ialah pada tahun lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, keadaan itu bertambah parah apabila ramai pengunjung yang berhenti membeli juadah di bazar Ramadan yang terletak berhampiran lampu isyarat utama.

Menurutnya, kesesakan biasanya berlaku pada waktu puncak sekitar pukul 6.30 pagi hingga 7.30 pagi dan 5 petang hingga 7 malam.

“Sejak bermula Ramadan, kesesakan bermula sejak pukul 3 petang. Lampu isyarat yang berdekatan antara satu sama lain dan tiada penyelarasan pertukaran lampu menyebabkan kenderaan tersangkut di pertengahan simpang utama,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pembantu gerai, Muhammad Aimannur Haqeem Mohd. Irwan, 21, berkata, keadaan jalan sempit serta sikap pengguna jalan raya yang gemar memotong barisan memburukkan lagi kesesakan.

Katanya, tiada kawalan dan pemantauan daripada pihak berwajib menyebabkan segelintir pemandu bertindak sesuka hati.

“Ada juga yang meletak kenderaan di bahu jalan. Sekiranya polis trafik dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerap bertugas di kawasan ini, saya percaya pemandu lebih berhemah dan aliran trafik juga lancar,” katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab mencadangkan anggota polis trafik ditempatkan semula untuk melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.

Jelasnya, PBT dan polis harus bertindak menguatkuasakan larangan meletak kenderaan di bahu jalan.

“Dua lampu isyarat yang terletak berdekatan antara satu sama lain perlu selari waktu pertukaran lampu agar tidak menambah kesesakan sedia ada. Kalau lampu bertukar hijau, pastikan juga lampu isyarat di hadapan juga hijau.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, percepat proses membina jalan rentas dari simpang tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal ke Taman Murai Jaya. Bina jalan rentas dari Kampung Pulau ke Gangsa bagi mengurangkan kenderaan yang melalui Pekan Durian Tunggal,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN