Hotel tawar diskaun 20 peratus harga bufet Ramadan

Hotel tawar diskaun 20 peratus harga bufet Ramadan

ABDUL Hamid P.V Abu (tengah) bersama Muhammed Ridzuan (kanan) dan Chef Amilludin Mansur ketika Majlis Prapelancaran Bufet Ramadan di Port Dickson hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Menyambut saranan supaya pihak hotel tidak menawarkan harga tinggi bagi bufet berbuka puasa sepanjang Ramadan, sebuah hotel di daerah ini mengambil langkah mengurangkan 20 peratus bagi harga sajian yang disediakan mereka.

Pengurus Ehsan Seaview Hotel, Muhammed Ridzuan Nordin berkata, hasil perbincangan bersama pihak pengurusan serta melihat harga yang ditawarkan hotel pesaing, pihaknya berharap pengurangan harga tersebut tetap dapat membantu pihak hotel menjana sedikit keuntungan selain memberi peluang kepada umat Islam berbuka puasa di hotel dengan harga lebih rendah.

“Ketika Ramadan tidak ramai pelanggan berkunjung di hotel namun bufet Ramadan ini boleh membantu pihak hotel menjana sedikit keuntungan.

“Bagi kami, keuntungan sedikit namun apa yang lebih penting pelanggan dapat menikmati juadah yang sedap dengan harga yang berbaloi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Majlis Prapelancaran Bufet Ramadan di hotel tersebut, hari ini 

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ehsan, Datuk Abdul Hamid P.V Abu. 

Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pengusaha hotel dan restoran disaran tidak menawarkan sajian atau bufet berbuka puasa pada harga tinggi, menjelang Ramadan ini.

Jalaluddin menjelaskan, harga bufet yang ditawarkan perlu dikaji semula dan tidak dibuat sesuka hati sehingga membebankan pihak lain.

Sementara itu, Muhammed Ridzuan memberitahu, pihaknya turut menyasarkan kehadiran pelanggan dari sekitar Lembah Klang bagi mengambil peluang berbuka puasa di hotel sekitar Port Dickson.

“Kami tetap mengutamakan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) seperti mengehadkan hanya 150 orang pelanggan sahaja pada satu-satu,” katanya sambil memberitahu harga bufet berbuka puasa di hotel berkenaan ditawarkan pada harga serendah RM48 menerusi pembelian baucar awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN