Guru KAFA tanpa vaksin tidak dibenar mengajar bersemuka - JAIPk - Utusan Malaysia

Guru KAFA tanpa vaksin tidak dibenar mengajar bersemuka – JAIPk

MOHD. Yusop Husin (dua dari kiri) menanam pokok pada Pelancaran Penghijauan Malaysia Masjid Dalam Taman Indah dan Ceria di Masjid ar-Rashdiah Selama dekat Larut hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini yang enggan dan belum mengambil vaksin Covid-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, guru KAFA berkenaan tidak dibenarkan terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas atau berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

“Keputusan ini bagi memastikan guru tersebut tidak mendatangkan mudarat kepada pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

“Keputusan ini juga bertujuan bagi menjaga keselamatan kesihatan setiap individu yang berada di dalam sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Pelancaran Penghijauan Malaysia Masjid Dalam Taman Indah dan Ceria di Masjid ar-Rashdiah Selama dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop dan Orang Besar Jajahan (OBJ) Larut Matang dan Selama, Datuk Wan Mohd. Isa Wan Mohd. Razali.

Mohd. Yusop berkata, guru-guru KAFA yang belum mengambil vaksin  hanya boleh melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Katanya, mereka sama sekali tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

“Sebelum ini, guru-guru  dinasihatkan dan  dimaklumkan mengenai kesan akibat keengganan mereka untuk mengambil vaksin, jadi mereka tidak boleh menyalahkan JAIPk dalam perkara ini.

“Sekiranya mereka telah melengkapkan dan matang tempoh vaksinasi, maka mereka boleh bertugas seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, mengenai program penghijauan masjid, Mohd. Yusop berkata, program itu sebagai menyahut seruan Program Penghijauan Malaysia dan menjadikan 608 buah masjid dan 1,200 buah surau di negeri ini menjadi taman yang indah dan ceria.

“Diharapkan semua masjid dan surau di negeri ini dapat turut mengambil bahagian selain memainkan peranan dalam menjaga pokok-pokok yang ditanam agar dapat memulihara alam sekitar bagi menghirup udara yang bersih,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya