278 saman trafik  ketika operasi malam minggu - Utusan Malaysia

278 saman trafik  ketika operasi malam minggu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 278 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) atas pelbagai kesalahan dalam operasi pada Jumaat hingga awal pagi ini.

Dalam operasi  sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)  turut menahan 21 individu termasuk 15 pemandu mabuk berusia 18 hingga 61 tahun. 

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi melibatkan kekuatan 46 pegawai dan anggota dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut beliau,  seramai lima lelaki dan seorang wanita ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing.

“Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Selain itu, kita turut menahan 15 lelaki termasuk warga emas berusia 61 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan akan didakwa mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut  Sarifudin, seorang lelaki berusia 21 tahun pula ditahan atas kesalahan menunggang motosikal disyaki curi yang dilaporkan hilang di Sentul.

Bagaimanapun, polis akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan

“Kita turut menyita 12 motosikal kerana mengubah suai ekzos manakala JAS mengeluarkan tujuh saman terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“JSPT akan mempertingkatkan operasi hujung minggu bagi mencegah dan membanteras aktiviti samseng jalanan dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” ujar beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya