KUALA LUMPUR: Hampir 500,000 saman telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan (JPJ) terhadap pemandu warga asing hasil penguatkuasaan berterusan Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) selama tiga tahun.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 482,742 saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan serius melibatkan pemandu warga asing.
Menurutnya, daripada jumlah itu, kutipan kompaun direkodkan mencecah sehingga RM25.3 juta, sekali gus mencerminkan tahap pematuhan undang-undang yang masih membimbangkan.
“Berdasarkan rekod saman yang dikeluarkan, warga asing Rohinya, Bangladesh, Indonesia, Timur Tengah, India dan China adalah warga yang paling tinggi dikenakan tindakan, dengan jumlah keseluruhan seramai 462,835 orang.
“Selain itu, pemandu dari Thailand dan Singapura turut mencatat jumlah saman tinggi, sekali gus menuntut penguatkuasaan lebih menyeluruh secara berterusan,” katanya sewaktu berucap pada sidang akhbar Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di JPJ WPKL di sini hari ini.
Tambah Muhammad Kifli, sitaan kenderaan turut dilaksanakan dan telah melibatkan 15,789 kenderaan yang dipandu warga asing .
Katanya, sitaan tersebut dilaksanakan sebagai langkah mendidik serta melindungi pengguna jalan raya di negara ini.
“Kebanyakan pemandu warga asing itu disaman kerana memandu tanpa lesen sah, cukai jalan tamat tempoh serta ketiadaan perlindungan insurans kenderaan.
“Kesalahan lain turut melibatkan pengubahsuaian kenderaan secara tidak dibenarkan, penggunaan kenderaan bagi tujuan berbeza serta kegagalan mematuhi spesifikasi keselamatan ditetapkan.
Muhammad Kifli turut berkata, hasil daripda siasatan juga mendapati kenderaan yang disita juga melibatkan penyewaan daripada rakyat tempatan, membolehkan pemandu warga asing memandu bebas walaupun tidak layak.
“JPJ juga memberi amaran keras kepada majikan dan pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan pemandu warga asing memandu tanpa kelayakan dan dokumen sah. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan tegas turut diambil terhadap pihak terlibat.
“JPJ tidak akan berkompromi dalam usaha memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi sepenuhnya. Ops PeWA akan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keselamatan jalan raya negara tidak digadai dan tidak dipertaruhkan oleh mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN










