Zahid dan ahli keluar parti, Bersatu Cawangan Molek Harmoni bubar - Utusan Malaysia

Zahid dan ahli keluar parti, Bersatu Cawangan Molek Harmoni bubar

MOHAMED Khaled Nordin (tiga dari kiri) menerima sebanyak kira-kira 50 borang keahlian UMNO daripada Mohd. Zahid Ismail dalam sidang akhbar pembubaran Bersatu Cawangan Molek Harmoni di Taman Harmoni, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menerima perkhabaran negatif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila Bersatu Cawangan Molek Harmoni, di sini dibubarkan.

Bekas ketua cawangan itu, Mohd. Zahid Ismail, 48, berkata, pembubaran cawangan itu ekoran tindakannya bersama ahli jawatankuasa serta kira-kira 50 pengikut parti itu sebelum ini bertindak keluar parti serta merta.

Katanya, tindakan itu dibuat kerana pihaknya kecewa dengan tindakan kepimpinan Bersatu di peringkat negeri yang ‘membutakan mata’ terhadap mereka.

“Selama kira-kira dua tahun kami berjuang bersama Bersatu di cawangan ini, tetapi rasa seperti tidak dihargai. Dalam tempoh mencabar akibat pandemik Covid-19 sebelum ini pun tiada sebarang bantuan diberi, sebaliknya kami hanya menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Keputusan ini (keluar parti dan bubar cawangan) dibuat kerana telah hilang kepercayaan terhadap parti dan kepimpinan, sama ada peringkat negeri dan pusat,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohd. Zahid kemudian menyerahkan borang keahlian UMNO milik kesemua 50 bekas ahli Bersatu cawangan itu kepada Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Sementara itu, bekas Ketua Srikandi Bersatu cawangan berkenaan, Zulimawati Sharkawi, 44, pula memberitahu, dia mengambil tindakan keluar parti kerana merasakan tiada apa-apa manfaat yang diterima sepanjang lebih dua tahun penglibatannya.

“Tindakan yang dilakukan kami ini dibuat secara sukarela, langsung tiada paksaan ataupun habuan yang ditawarkan sebaliknya kami ikhlas untuk menyokong Barisan Nasional (BN). Kami percaya hanya UMNO dan BN yang mampu membela masyarakat khususnya di peringkat akar umbi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan BN dan UMNO khususnya tidak terlibat dengan tindakan keluar parti mana-mana pihak termasuk daripada Bersatu yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini kerana ia dibuat atas keikhlasan mereka.

“Apabila pihak-pihak ini keluar daripada Bersatu dan menyokong kami, pasti banyak tohmahan dilemparkan seperti mereka sudah dibayar dan sebagainya. Tetapi ini bukan cara UMNO, beri habuan, bayar, buat gimik, lakonan sebaliknya saya percaya ini tindakan daripada hati ikhlas yang mahu Melayu terus bersama dan tidak berpecah.

“Saya percaya asas kepada tindakan ini adalah kerana mahu kestabilan dan kesejahteraan dalam negara dan negeri, jadi perlulah ada satu kerajaan yang stabil,” katanya.

Tambah Mohamed Khaled, pihaknya percaya individu yang keluar daripada Bersatu dan kembali menyokong UMNO adalah kerana mereka telah membuat perbandingan antara kedua-dua parti itu.

“Mereka ini mungkin pernah bersama UMNO dahulu kemudian bersama Bersatu, jadi mereka kenal kedua-dua parti ini secara luaran dan dalaman dan boleh membuat perbandingan mana yang lebih baik.

“Saya percaya keputusan diambil mereka adalah kerana keyakinan dan kepercayaan bahawa hanya UMNO dan BN yang mampu membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada semua pihak. Tindakan mereka sokong parti lain kerana terpengaruh dengan emosi dan persepsi, namun setelah dua tahun, apa yang mereka dapat,” soalnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya