BATU GAJAH: Seorang wanita maut setelah kereta dipandunya melanggar seekor kerbau yang melintas jalan di Jalan Perindustrian Pengkalan 2, di sini awal pagi tadi.
Nahas pada pukul 1.05 pagi itu mengorbankan Lee Chiew Li, 37, di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Pusing di sini untuk pulang ke rumahnya di Kampung Muhibbah Fasa 1, Sungai Siput.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian iaitu di lalun lurus, kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan kerana terlanggar seekor kerbau yang melintas di hadapan laluannya.
“Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas masuk ke dalam gaung di sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE