JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak memandang ringan pertambahan kira-kira 750,000 pengundi baharu termasuk golongan muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebaliknya percaya pengundi baharu itu menjadi perubahan besar kepada landskap politik negeri ini dan perlu berusaha keras untuk memenangi golongan tersebut yang dilihat kehadiran mereka sebagai satu kelebihan.
“Jangan ambil mudah undi anak-anak muda, kita perlu bekerja dan berkhidmat jauh lebih kuat daripada parti lain. Saya ingatkan hanya kerana kita Muda, belum tentu orang muda akan undi kita. Kita perlu bawa perubahan dasar yang lebih baik kepada mereka kerana inilah caranya untuk kita mendekati mereka.
“Sebab itu kita perlu fokus kepada politik dasar dan politik khidmat lebih baik daripada parti lain, biar kita berlumba bukan untuk menjatuhkan tetapi berlumba untuk memberi tawaran dan khidmat jauh lebih baik,” katanya ketika Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di pekan Ulu Tiram di sini, hari ini.
Tambah Syed Saddiq, tawaran dibuat Muda kepada golongan itu lain daripada parti lain dan dilihat lebih realistik kerana anak muda kini berbeza dan jauh lebih bijak jika dibandingkan dengan anak muda generasi terdahulu.
“Mereka tidak akan mengundi seseorang calon hanya kerana faktor usia yang muda dan juga tidak akan memilih seseorang calon hanya kerana diberikan wang. Anak muda sekarang berfikiran lebih matang kerana mereka berpendidikan dan tahu apa yang lebih baik untuk masa depan mereka dan keluarga,” ujarnya.
Syed Saddiq turut menafikan Undi-18 memberi kelebihan hanya kepada parti Muda, sebaliknya ia adalah kelebihan buat golongan itu kerana semua pihak berlumba menarik sokongan mereka.
Sementara itu, menjelaskan persoalan sama ada beliau bertanding atau tidak dalam PRN Johor, katanya perkara itu tidak penting, sebaliknya apa yang ditawarkan parti Muda adalah lebih utama.
“Ada ura-ura kata Syed Saddiq nak bertanding. Tidak, rakyat tidak mahu dengar itu sekarang ini sama ada (saya) bertanding atau tidak. Rakyat nak dengar apa solusi Muda atau apa khidmat masyarakat yang Muda boleh buat. Parti Muda lebih besar daripada Syed Saddiq. Saya nak pastikan apabila Muda sertai PRN, ia melangkaui faktor Syed Saddiq dan ia sebenarnya tentang nasib dan kebajikan rakyat, itu isu utama dan hakiki,” katanya.
Tambah Syed Saddiq, Muda sedang melakukan jelajah di seluruh Johor tetapi tidak menggunakan kaedah dan pendekatan lama seperti mengadakan ceramah, memberi arahan atau menghasilkan manifesto yang syok sendiri.
“Tetapi apa yang kita lakukan adalah kerah ahli Muda seluruh negara untuk jalankan jelajah dengan mengunjungi warung, restoran, kedai mamak, rumah ke rumah dan pejabat. Kita nak dengar keluh kesah mereka. Tugas mereka bukan memberi ceramah tetapi mendengar masalah rakyat, kita tanya masalah setempat dan cari penyelesaian serta melihat apa cadangan untuk politik Malaysia yang boleh diperbaharui.
“Inilah parti Muda, bukan hanya mengangkat orang muda tetapi mengamalkan politik lama dan lapuk kerana ada ahli kita berusia 70 dan 80 tahun. Muda membawa politik baharu, sebab itu kita gabungkan semua ini di bawah kerangka Muda,” katanya.
Syed Saddiq turut memaklumkan setakat minggu lalu, Muda sudah mempunyai keahlian berdaftar seramai 76,000 ahli berusia antara 18 hingga 83 tahun dengan pelbagai latar belakang masyarakat yang berbeza. – UTUSAN ONLINE