Waktu sesuai naikkan gaji minimum pekerja

Waktu sesuai naikkan gaji minimum pekerja

M. Saravanan menyampaikan sijil kepada graduan sempena Majlis Konvokesyen FeMAC Zon Tengah ke-4 Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cadangan untuk pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 pada tahun ini disifatkan tepat pada waktu dan masanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pelaksanaan berkenaan adalah bertujuan untuk membantu rakyat bagi menangani kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Saya berpendapat, inilah waktu dan masanya untuk menaikkan gaji minimum pekerja. Ia bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

“Jika dahulu, ramai individu yang tidak mahu masuk sektor kerajaan kerana tangga gaji sektor swasta yang tinggi. Kini gaji sektor swasta pula lebih rendah dari kerajaan.

“Kita kena beri peluang kepada warga kerja tempatan untuk menambah pendapatan dan bukan hanya majikan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Persekutuan Pusat-pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (FeMAC) Zon Tengah ke-4 Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini.

Sementara itu, Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan institusi bertauliah untuk mempergiatkan lagi usaha ke arah melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta relevan buat negara di masa akan datang.

Tambah beliau, bagi tujuan tersebut kerajaan telah memperluaskan geran khas bagi menggalakkan pihak institusi bertauliah untuk memperbanyakkan program berbentuk kemahiran.

Menurutnya, menjadi hasrat kerajaan dalam memperbanyakkan lagi program Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang akan memainkan peranan penting dalam perubahan negara ke arah revolusi industri 4.0.

“Langkah ini penting dalam memastikan tenaga kerja mahir mengisi inisiatif kerajaan dalam mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu tahun ini.

“Pihak kementerian melalui dua agensi iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd. akan memperbanyakkan program-program peningkatan kemahiran dan latihan semula,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN