Undi kaum Cina penting tubuhkan kerajaan stabil

Undi kaum Cina penting tubuhkan kerajaan stabil

HASNI Mohammad (dua dari kanan) melukis mata pada kepala naga sebagai simbolik sambil diperhatikan Tee Siew Kiong (kanan) dan Ahmad Maslan (kiri) sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Pontian, Johor, malam tadi. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) terus menagih sokongan masyarakat Tionghua di negeri ini bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kemajuan dilaksanakan di Johor pada masa hadapan.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sokongan yang tidak berbelah bahagi itu amat penting supaya kerajaan yang stabil dan kukuh juga dapat dibentuk kelak.

Jelasnya, Johor amat berpotensi untuk terus menjadi penyumbang terbesar ekonomi negara memandangkan kedudukan negeri ini yang berjiran dengan salah sebuah negara maju di dunia, Singapura.

“Kerajaan negeri yang tidak stabil akan hanya merugikan rakyat dan potensi sebenar negeri ini tidak dapat dibangun dan dimajukan secara menyeluruh. Rakyat perlu pastikan Johor terus memainkan peranan sebagai negeri penyumbang ekonomi penting dalam negara. Oleh itu, kita perlu bermula dengan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan kuat.

“Saya harap masyarakat Tionghua di negeri ini memberi peluang kepada BN untuk menjadi kerajaan negeri lebih kukuh dan kuat di Johor sekali gus beri saya peluang semula membangunkan ekonomi negeri yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Tionghua di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Kiong.

Dalam majlis itu, Hasni juga mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada tokong Fat See Kong Kow Beow Pontian bagi menambah baik kemudahan sedia ada. 

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, keunikan masyarakat berbilang kaum yang hidup secara harmoni di negeri ini harus terus dipelihara dan dikekalkan.

Katanya, ia terbukti apabila masyarakat majmuk di negeri ini saling menghormati perayaan dan kepercayaan masing-masing selain bergaul mesra tanpa sebarang prejudis.

“Cara begini memberi gambaran keharmonian, perpaduan, toleransi dan kestabilan masyarakat yang berbilang kaum amat penting untuk Johor. Keunikan sebegini perlu dikekalkan supaya pelabur terus berminat membawa pelaburan masuk ke suasana persekitaran yang stabil dan aman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya