MUMBAI: “Anda tidak akan kami lupakan”
Berikut coretan pelakon legenda, Madhuri Dixit Nene susulan pemergian penyanyi disegani India, Lata Mangeshkar.
Dixit yang merupakan antara ratusan pelakon yang pernah bekerjasama dengan mendiang, menyifatkan Mangeshkar sebagai seorang yang penyayang dan prihatin.
“Turut berduka dengan pemergian suara yang mentakrifkan muzik India.
“Satu penghormatan bagi saya kerana dapat berinteraksi dengan mendiang dan menjadi antara yang sempat merasai kasih sayang dan keprihatinannya,” tulisnya di Instagram.
Selain itu, bintang terkenal, Salman Khan turut meluahkan kesedihan berikutan kehilangan permata seni India itu.
“Anda akan selamanya dirindui, permata seni kami.
“Suaramu akan tetap hidup bersama kami,” ciapnya di Twitter.
Mangeshkar menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun.
Beliau sekitar Januari lalu dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti Covid-19.
Kematiannya berpunca daripada kegagalan fungsi beberapa organ dalam badan. Perkara itu disahkan sendiri oleh doktor yang merawatnya.
Upacara pembakaran mayatnya akan dilakukan sekitar petang ini waktu tempatan.
Dalam pada itu, kerajaan India mengumumkan tempoh berkabung dua hari bagi menghormati pemergian penyanyi kesayangan ramai itu bermula hari ini.