TUDM terima 3 daripada 4 helikopter AW139  - Utusan Malaysia

TUDM terima 3 daripada 4 helikopter AW139 

HISHAMMUDDIN Tun Hussein ketika mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan TUDM Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebanyak tiga daripada empat buah helikopter model Leonardo AW139 yang akan diguna pakai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan Sikorsky S-61 atau Nuri kini telah diterima manakala sebuah lagi helikopter dijadual tiba Mei ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pengoperasian keempat-empat helikopter yang diperoleh menerusi kaedah sewaan berkonsepkan ‘Government Operate, Company Own and Maintain’ (GOCOM) itu akan dikendalikan oleh Skuadron No.3.

Menurut Hishammuddin, selain menampung penugasan helikopter Nuri yang telah tamat operasi, sewaan itu juga bertujuan memastikan tempoh penerbangan, kos operasi dan penyelenggaraan helikopter EC725AP lebih efektif.

Pada masa sama katanya, kaedah sewaan berkonsepkan GOCOM itu diharap dapat mengekalkan kompetensi anak kapal helikopter Nuri ketika ini.

“Helikopter AW 139 ini dipilih kerana kemampuannya untuk melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik kepada TUDM serta ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Ia juga berkeupayaan untuk melaksanakan peranan dan tugas ‘utility fleet‘ helikopter TUDM serta mampu beroperasi pada waktu siang dan malam,” katanya ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerja ke Pangkalan TUDM Butterworth, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Jelas Hishammuddin, selain AW139, aset ATM lain yang mengguna pakai kaedah GOCOM ialah helikopter latihan Airbus EC120B dan ‘Flight Simulation Training Device’ (FSTD) Untuk Kegunaan Kursus Asas Juruterbang Helikopter TUDM selain Bot Op Pasir.

“Kerajaan memilih mengguna pakai kaedah GOCOM ini kerana merupakan pendekatan luar kotak yang amat diperlukan terutama ketika tumpuan kewangan kerajaan ketika ini terarah kepada usaha pemulihan negara di era pandemik. Dengan kaedah ini juga, tempoh masa untuk melaksanakan proses perolehan termasuk berkaitan tender serta pembinaan aset dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sebanyak 288 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Pangkalan Udara Butterworth kini telah digabungkan menjadi 144 unit.

“Daripada jumlah itu, 60 unit telah siap di bawah Fasa Tiga manakala Fasa Empat yang melibatkan penggabungan 168 unit menjadi 84 unit pula akan bermula dalam masa terdekat. Blok yang akan dinaik taraf ini merupakan pangsapuri kelas G yang menempatkan anggota berpangkat Korporal Udara dan ke bawah,” katanya yang memberitahu, kerja-kerja menaik taraf perumahan kakitangan ATM itu menjadi keutamaannya sebagai Menteri Pertahanan ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya