Tipu lesen terbang: Polis terima 9 laporan babit kerugian RM17,080 - Utusan Malaysia

Tipu lesen terbang: Polis terima 9 laporan babit kerugian RM17,080

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak sembilan laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kegiatan penipuan lesen memandu membabitkan kerugian RM17,080 yang dilakukan secara dalam talian.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh laporan diterima di Pulau Pinang manakala dua lagi di Kelantan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya telah mengesan kegiatan penipuan berkenaan yang menawarkan lesen memandu kepada mangsa tanpa perlu menghadiri sebarang ujian mahupun kelas memandu.

Jelas beliau, penawaran terbabit dilakukan menerusi iklan dalam media sosial.

“Mangsa hanya perlu menyerahkan butiran diri dan bayaran sekitar RM580 hingga RM5,000 bagi tujuan mendapatkan lesen tersebut.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja bayaran dibuat, lesen yang dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kes berkenaan masih disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, kata Kamarudin, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terutama apabila melakukan urusan melalui internet atau laman sosial.

“Pastikan lakukan semakan nombor akaun bank dan nombor telefon di portal semak mule yang boleh dilayari melalui https:/semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan pindahan wang ke dalam akaun yang tidak dikenali.

“Bagi tujuan pembanterasan kes-kes penipuan dalam talian, pihak polis menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan modus operandi yang digunakan oleh penjenayah.

“Sebarang kemusykilam mahupun nasihat berkaitan jenayah komersial, orang ramai boleh berhubung dengan pihak polis melalui CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559/1599,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Kamarudin, pihak polis menyeru masyarakat untuk tidak terlibat dengan sebarang cubaan untuk mendapatkan lesen memandu melalui saluran yang tidak sah.

“Tindakan tersebut adalah sama sekali tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya