PETALING JAYA: Cadangan pembinaan lebih banyak Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart) serta Kota Span sebagaimana di China perlu diteliti semula berdasarkan pelbagai faktor.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S. Piarapakaran berkata, apa yang membimbangkan, kedua-dua cadangan tersebut boleh memberi implikasi buruk kepada alam sekitar dan tidak memberikan sebarang hasil.
Justeru, katanya, kerajaan digesa meneliti secara terperinci dan membuat kajian berdasarkan data daripada kes banjir yang berlaku sebelum ini.
“Teknologi di sesebuah negara mungkin ada yang tidak sesuai jika digunakan di negara ini. Kita perlu tahu fungsi dan bagaimana keadaan di sana.
“Sebagai contoh ‘bandar span’ di China dan kota takungan di Belanda. Di kedua-dua negara ini ada salji dan hujan serta glasier. Begitu juga dengan kedudukan tanahnya yang terletak di bawah aras laut. Jadi bentuk muka bumi dan faktor alam semula jadi kita berbeza.
“Sebab itulah kita perlu tanya semula adakah kita boleh gunakan teknologi yang sama dengan mereka? Itu belum lagi soal masalah dan isu yang kita hadapi berbanding mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin, beliau berkata, beberapa cadangan dikemukakan antaranya membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti bandar span di China serta kota takungan di Belanda.
Ia adalah antara cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air yang dipersetujui secara dasar pada mesyuarat itu.
Dalam pada itu, Piarapakaran berkata, pembinaan lebih banyak terowong Smart juga tidak membantu mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan terutama membabitkan kawasan bandar.
“Masalahnya apabila membina terowong Smart sudah pasti kita perlu bina lebih banyak lebuh raya. Ia akan jadi masalah di kawasan-kawasan tertentu.
“Selain itu, air yang masuk ke dalam terowong itu juga akan dialirkan ke hilir sungai, namun masalahnya semasa banjir baru-baru ini, kawasan yang dilanda banjir adalah kawasan hilir. Oleh itu, adalah lebih baik bina lebih banyak tebatan banjir untuk menangani masalah ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), T.Saravanan berkata, kerajaan perlu menyediakan pelan pengurusan bencana untuk jangka masa panjang dan pendek bagi memastikan masalah yang sama tidak berulang lagi pada masa depan. – UTUSAN ONLINE