Taktik simpan rokok seludup di kebun kelapa sawit terbongkar

Taktik simpan rokok seludup di kebun kelapa sawit terbongkar

ROKOK dan minuman keras yang dirampas JKDM Perak dalam empat serbuan berasingan baru-baru ini. - FOTO/IHSAN JKDM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Taktik sindiket penyeludupan rokok seludup menjadikan kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tersusun Batu 19 ½ di Batu Kurau, Taiping sebagai lokasi penyimpanan terbongkar apabila diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, minggu lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang itu, lebih 1.2 juta batang rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam dua buah lori berjaya dirampas.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Dr. Mohamad Saprin berkata, nilai termasuk cukai barang disyaki belum lulus kastam itu berjumlah lebih RM1 juta.

Katanya, keadaan lokasi yang berbukit dan curam serta gelap dengan jalan licin kerana hujan lebat menyukarkan pihaknya membawa barang rampasan keluar.

“Pasukan bantuan tiba di lokasi pada pukul 2.00 pagi. Barang rampasan dibawa keluar dengan menggunakan pacuan empat roda secara bergilir-gilir sehingga pukul 9 pagi.

“Operasi membawa keluar barang rampasan dan sebuah lori yang mengambil masa tujuh jam itu dibawa ke pejabat penguatkuasaan JKDM Ipoh untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, JKDM Perak juga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM105,000 di Ipoh, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, dalam tiga serbuan berasingan itu, lebih 114,206 batang rokok dan 196.67 liter minuman keras telah dirampas.

“Dalam serbuan itu, kita menahan tiga lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan. Siasatan bagi kesemua kes itu dijalankan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN