JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) tidak perlu terikut-terikut dengan strategi parti lain yang sudah mula memperkenal calon-calon mereka satu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan percaya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai pendekatan tersendiri dalam soal penamaan calon dan masa terbaik untuk berbuat demikian.
Apa yang pasti, kata beliau, keputusan yang diambil itu adalah terbaik untuk parti serta demi kepentingan rakyat di negeri ini.
“Dalam konteks calon ini, kita tidak terlalu terkesan terhadap apa yang pihak lain buat. Saya yakin apa Presiden UMNO dan timbalannya selaku Pengarah PRN Johor BN serta Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Hasni Mohammad ada pendekatan dan strategi mereka.
“Soal kita nak namakan calon ini biarlah kepimpinan parti putuskan siapa dan ‘timing’ kerana UMNO dan BN tidak terikat dengan kaedah atau pendekatan parti lain,” katanya ketika mengulas tindakan Pakatan Harapan (PH) yang sudah menamakan calon mereka ketika ditemui selepas mengadakan sesi dialog santai bersama mahasiswa Johor, di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Hari ini, PH Johor turut akan mengumumkan dua lagi calon yang akan bertanding di DUN Mengkibol dan DUN Mahkota dari Parti Amanah Negara (Amanah) serta DAP.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata parti sedang meneliti calon yang akan diketengahkan pada PRN Johor yang berpotensi di setiap kawasan DUN berdasarkan prinsip kebolehmenangan, penerimaan dan dari segi yang mana pengundi boleh menyukai calon itu.
Beliau juga sudah meminta Hasni untuk berunding dengan setiap Ketua UMNO bahagian kerana perlembagaan UMNO menentukan bahawa sebarang calon mestilah selepas berbincang dengan mereka.
Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan bersama mahasiswa Johor itu, Shahril Sufian memberitahu, banyak percambahan idea dan pertukaran maklumat mengenai PRN serta kehendak golongan muda yang diharap diterjemahkan oleh parti.
“Ini adalah usaha berterusan Pemuda dan parti yang sentiasa mendampingi orang muda serta mendengar suara mahasiswa untuk pastikan perjuangan, hujah dan penyampaian serta pengisian kita adalah serasi dan relevan dengan kesesuaian zaman.
“Tidak boleh nafikan dalam konteks PRN Johor, keperluan jadi lebih mendesak dan penting supaya kita benar-benar memahami aspirasi Undi18. Ini antara usaha awal dalam tempoh PRN ini untuk kita perhalusi konteks Undi18 ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











