Seperti adik-beradik sejak 70 tahun lalu - Utusan Malaysia

Seperti adik-beradik sejak 70 tahun lalu

SHAHARUDIN Mohd. Said (kiri) bersama Lee Kit Len kini tinggal di atas tanah sama di Kampung Sungai Batu, Pedas, Rembau, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Walaupun tiada pertalian darah malah berbeza agama dan budaya, hubungan antara Shaharuddin Mohd. Said, 73, dan Lee Kit Len, 83, sangat erat seperti adik-beradik sejak 70 tahun lalu.

Menceritakan detik permulaan hubungan itu, Shaharudin berkata, Kit Len ditemukan oleh arwah bapanya, Mohd. Said Husin sekitar tahun 1950-an yang ketika itu dilihat sedang berlegar-legar tanpa hala tuju di Beranang, Selangor.

“Ayah semasa itu mahu pulang ke Rembau menaiki bas dan terlihat Kit Len yang ketika itu masih kecil dalam keadaan menyedihkan. Ayah bertanyakan asal Kit Len namun dia memaklumkan sudah melarikan diri daripada keluarganya.

“Kit Len kemudian tinggal bersama saya tiga beradik sehingga berusia awal 20-an. Namun dia melarikan diri kerana takut ingin dikhatankan untuk masuk Islam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sungai Batu, Pedas, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga cuba mencari Kit Len namun tidak ditemukan sehinggalah lelaki itu pulang sendiri namun kembali menghilangkan diri.

“Sehinggalah kira-kira empat tahun lalu, Kit Len datang kembali membawa barang-barangnya dan ingin menetap terus di rumah kami ini. Kami tetap sayang kepadanya dan tidak sampai hati membiarkan Kit Len tinggal di merata-rata tempat,” katanya.

Sementara itu, Kit Len berkata, walaupun sejauh mana dia pergi dan menghilangkan diri, hanya keluarga Shaharudin yang mahu menerima dirinya.

“Mujur Shaharudin masih mahu menumpangkan saya di tanah milik arwah bapa angkat saya ini. Pada mulanya dia membina pondok kayu namun kini ia lebih selesa selepas mendapat sumbangan sebuah rumah dari Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Anak-anaknya juga sayangkan saya dan merekalah yang membantu menghantar saya ke hospital ketika sakit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN