PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berharap mentari dan bulan terus menyinari perjuangan Islam.
Menerusi status ringkas di Facebook, beliau yang digugurkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkata, akan terus bersabar dengan ujian dan istiqamah dengan perjuangan.
“Terus bersabar dengan ujian dan terus istiqamah dengan perjuangan. Mentari dan bulan akan terus menyinari perjuangan Islam ini,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Tidak sampai sebulan digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Mohd. Khairuddin dipecat sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pengguguran jawatan Mohd. Khairuddin itu berkuat kuasa semalam.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas berikutan masalah disiplin bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. – UTUSAN