TIANSHUI: Lebih 200 murid tadika di Tianshui, wilayah barat laut China dikesan mengalami paras plumbum luar biasa dalam darah selepas kakitangan dapur sekolah menggunakan cat sebagai pewarna makanan, sekali gus mencetuskan kemarahan umum terhadap satu lagi insiden keselamatan makanan di negara itu.
Menurut laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa bandar Tianshui semalam, lapan individu termasuk pengetua dan pelabur kewangan tadika swasta berkenaan telah ditahan atas dakwaan menghasilkan makanan toksik dan berbahaya.
Hasil siasatan mendapati pengetua Tadika Heshi Peixin bersama pelaburnya telah membenarkan kakitangan dapur menggunakan pigmen cat yang mengandungi plumbum dan dilabel jelas sebagai tidak boleh dimakan untuk mewarnakan makanan murid dalam usaha menarik lebih ramai pendaftaran dan menjana keuntungan.
Daripada 251 murid yang berdaftar, sebanyak 233 didapati mempunyai tahap plumbum yang tidak normal dalam darah dan sejumlah 201 murid kini sedang dirawat di hospital manakala penilaian lanjut terhadap kesan jangka panjang pendedahan berkenaan masih belum diumumkan.
Sampel makanan yang diambil dari tadika itu, termasuk kek kukus kurma merah dan roti jagung sosej, menunjukkan kandungan plumbum melebihi 2,000 kali ganda had keselamatan makanan kebangsaan China, menurut laporan siasatan rasmi.
Insiden tersebut mula disiasat pada 1 Julai lalu selepas pihak berkuasa menerima laporan beberapa kanak-kanak dari tadika terbabit menunjukkan tahap plumbum luar biasa dalam darah.
Salah seorang ibu mangsa memberitahu media rasmi China dia terkejut apabila sebuah hospital di bandar lain mengesahkan anaknya mencatat bacaan plumbum setinggi 528 mikrogram per liter jauh melebihi paras yang sepatutnya sehingga diklasifikasikan sebagai keracunan plumbum teruk oleh Agensi Kesihatan Kebangsaan China.
Difahamkan, selepas pihak tadika menjalankan ujian darah tanpa memberikan keputusan individu, ramai ibu bapa mengambil inisiatif sendiri membawa anak mereka ke bandar Xi’an, empat jam dari Tianshui, untuk menjalani ujian lanjutan dan hasilnya, 70 murid dikesan melebihi paras keracunan, dengan enam daripadanya melepasi 450 mikrogram per liter.
Datuk Bandar Tianshui, Liu Lijiang memberi jaminan pihaknya akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan rawatan, pemulihan dan perlindungan susulan kepada kanak-kanak terlibat selain berjanji untuk menutup segala kelompongan dalam sistem pemantauan keselamatan makanan bandar tersebut.
China pernah dikejutkan dengan pelbagai skandal makanan sebelum ini, antaranya kes susu formula tercemar melamin pada tahun 2008 yang menyebabkan enam bayi maut dan lebih 300,000 lagi jatuh sakit. -AGENSI










