SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak akan menutup mana-mana sektor, meskipun jumlah kes baharu harian Covid-19 di negeri ini semakin meningkat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian kecuali situasi menjadi lebih buruk dan bergantung kepada implikasi penularan.
“Penutupan bukannya pilihan kerana kita telah berjaya memvaksinasi sebahagian besar dewasa dan remaja di negeri ini.
“Kalau dahulu kematian mencecah 200 kes sehari tetapi sekarang ini, dianggarkan hanya sembilan kes kematian sahaja ketika ini,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian surat tawaran pinjaman boleh ubah dalam negara di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini.
Semalam, jumlah kes baharu adalah 11,034 kes sekali gus menunjukkan trend peningkatan kes sejak beberapa hari lalu.
Menurut laman rasmi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), jumlah kes baharu di negeri itu semalam adalah 2,411 kes, berbanding 2,549 kes pada Ahad lalu.
Namun, beliau meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengesan sama ada terlibat anggota kumpulan sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu dijangkiti Covid-19 atau tidak.
“Untuk makluman sehingga hari ini, kira-kira 70,000 dos vaksin Covid-19 yang telah diberikan di bawah program Program Vaksin Selangor (SelVax) Booster,” ujarnya.