PONTIAN: Dakwaan Barisan Nasional (BN) sengaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi kepentingan poket mereka sendiri adalah satu tuduhan yang melampau dan tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebagai Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan tidak seharusnya mẹmbuat tuduhan sedemikian rupa.
“Kalau begitu, saya pun boleh cakap Bersatu sebagai Parti Pelompat Bersatu Malaysia. Daripada 31 kerusi yang dimiliki hanya enam sahaja daripada parti asal mereka. 10 daripadanya mengikut jejak Datuk Seri Azmin Ali dan 15 lagi melompat daripada UMNO.
“Sekiranya mereka benar sebuah parti yang berprinsip, mereka tidak akan terima Ahli Parlimen yang melompat daripada pelbagai parti menyertai Bersatu,” katanya mengulas dakwaan Wan Saiful yang mengutuk BN yang bercita-cita tinggi untuk kembali berkuasa.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Muhibbah Tahun Baharu Cina bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, di sini malam tadi.
Semalam, Wan Saiful melabel Hasni sebagai Menteri Besar yang gagal apabila tidak berjaya mentadbir dan mengemudi kerajaan negeri yang mempunyai satu kerusi majoriti sahaja hingga memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, itu adalah realiti politik sebenar di negeri ini setelah Bersatu dan Pas tidak mempunyai hubungan yang baik.
Katanya, mereka perlu sedar PRN diadakan bukan untuk melihat siapa yang gagal dan siapa yang berjaya tetapi mewujudkan kerajaan yang stabil.
“Hubungan antara UMNO dan Bersatu berada pada tahap sukar sebab mereka antara punca BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ketika mereka bersama Pakatan Harapan (PH) ketika itu. Saya harap kita tidak mudah lupa tentang itu,” ujarnya. – UTUSAN