Kolej komuniti di kawasan bandar bakal diperluas

Kolej komuniti di kawasan bandar bakal diperluas

ZAMBRY Abdul Kadir bergambar bersama perwakilan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Setiawangsa di Hotel & Residensi UTM di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan kolej komuniti di kawasan bandar termasuk Setiawangsa sedang diteliti sebagai sebahagian usaha memperkasa pendidikan kemahiran dan membuka lebih banyak ruang pembangunan kerjaya kepada anak-anak muda.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, walaupun kolej komuniti telah wujud di beberapa kawasan bandar, namun model dan pelaksanaannya perlu disesuaikan mengikut keperluan tempatan agar lebih berkesan.

Katanya, cadangan penubuhan kolej komuniti di kawasan bandar akan dibawa ke peringkat Politeknik dan Kolej Komuniti untuk dinilai seiring dengan dasar baharu yang memberi penekanan kepada keberkesanan kursus dan peluang laluan pendidikan yang lebih luas.

“Kita mahu pastikan kursus-kursus yang dianjurkan di kolej komuniti benar-benar memenuhi keperluan setempat, melatih kemahiran tempatan dan menyediakan laluan kerjaya termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita juga sedang membuka ruang supaya pelajar kolej komuniti mempunyai laluan khas untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti politeknik dan universiti teknikal, bergantung kepada kelulusan dan kelayakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa 2025 di Hotel dan Residensi UTM hari ini.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kementerian menstruktur semula hala tuju kolej komuniti supaya tidak lagi dilihat sekadar menawarkan kursus asas seperti masakan semata-mata.

Katanya, kolej komuniti perlu dilihat sebagai platform penting untuk menyediakan peluang kepada masyarakat khususnya golongan muda dan mereka di kawasan pedalaman yang mempunyai kemahiran tetapi kurang akses kepada pendidikan formal.

“Kolej komuniti bukan sekadar menawarkan program-program memasak, sebaliknya turut menyediakan kemahiran melalui program bersifat pembelajaran sepanjang hayat yang diperlukan masyarakat.

“Tapi kita juga nak menyediakan kepada anak-anak muda seperti yang saya sebutkan tadi, mereka yang berada di kawasan pedalaman contohnya, yang tidak ada peluang tetapi mempunyai kemahiran-kemahiran tergantung. Jadi, kita membina ruang ini untuk mereka.

“Kita mahu membantu anak-anak muda di kawasan pedalaman yang tidak ada peluang tetapi mempunyai kemahiran tertentu yang belum dikembangkan. Sebab itu, kita sediakan ruang dan peluang untuk mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×