Rumah sewa RM500 simpan dadah RM179,697

Rumah sewa RM500 simpan dadah RM179,697

MOHD. Afzanizam Yahaya (dua dari kanan) menunjukkan sejumlah dadah berupa heroin, syabu dan pil erimin 5 yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah rumah pangsa yang disewa RM500 sebulan untuk dijadikan pusat penyimpanan pelbagai jenis dadah bernilai RM176,697 diserbu polis dalam tiga serbuan yang dilakukan di sekitar Muar, pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, dalam serbuan pukul 6 petang hingga 1.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun. 

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan pengedaran dadah itu telah aktif beroperasi sejak Disember tahun lalu. 

“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan sebuah rumah pangsa yang disewa khusus untuk tempat penyimpanan dadah.

“Dadah yang dirampas ini ditemui disorokkan di bahagian bawah tempat sembahyang di satu sudut di rumah pangsa terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Mohd. Afzanizam berkata, selain wang tunai berjumlah RM685, polis merampas 10 kilogram (kg) dadah jenis heroin, 388 gram syabu dan 250 biji pil erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM176,697.

Beliau berkata, penganggur lelaki yang ditahan itu dipercayai turut bertindak sebagai penghantar dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, lelaki tersebut ditahan reman selama enam hari bermula 31 Januari hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil siasatan mendapati bekalan dadah yang diperolehi dari utara semenanjung ini adalah bagi pasaran di daerah Muar yang boleh digunakan oleh seramai 51,990 orang penagih. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan,” katanya. 

Pada bulan lalu, JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 1,873  orang bagi pelbagai kesalahan dadah dan merampas 834.87kg dadah bernilai RM2.52 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN