SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kuching City FC berkongsi mata apabila mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Seperti perlawanan menentang Selangor FC Ahad lalu, NSFC menjaringkan dua gol penting dalam 10 minit sebelum perlawanan tamat.
Pasukan pelawat yang bertandang ke Paroi mempamerkan permainan mantap berdepan dengan pasukan tuan rumah yang bersemangat tinggi selepas menumpaskan Selangor FC.
Gandingan pertahanan Kuching City FC menunjukkan keupayaan menyekat barisan serangan pasukan NSFC di hadapan 24,478 orang yang menyaksikan perlawanan malam ini.
Kuching FC mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama pada minit ke-7 perlawanan.
Ahmad Danial Ahmad Asri yang tidak dikawal meluru di kiri gol tuan rumah dan melepaskan rembatan masuk ke dalam gawang NSFC.
NSFC hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-11 namun sepakan ketua pasukan, Takumi Sasaki tersasar ke kiri gol lawan.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-30, pemain import, Wanja Ronald Ngah nyaris menjaringkan gol kedua Kuching City tetapi bola tandukannya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Muhammad Azri Abdul Ghani.
Kelalaian barisan pertahanan NSFC hampir dihukum pada minit ke-39 apabila Muhammad Ramadhan Saifullah Usman berjaya meloloskan diri namun Muhammad Azri sekali lagi bertindak tangkas menampan bola rembatan pemain itu.
Dua minit separuh masa kedua, Kuching City FC menambah bilangan gol melalui Ronald Ngah yang menanduk masuk bola dalam perebutan di depan pintu gol NSFC.
NSFC akhirnya berjaya memperoleh gol pada minit ke-78 melalui permain penyerang, Joseph Esso yang menerima lorongan bola daripada Ameyaw Alexander Agyakwa sebelum menyepak masuk.
Ketika Kuching City kelihatan hampir pasti mengutip tiga mata penuh, NSFC menjaringkan gol penyamaan melalui Nsue Etugu Luis Enrique yang menanduk masuk bola dari sepakan sudut ketika permainan memasuki masa tambahan.-UTUSAN.











