Ras Adiba kesal, JKMPay didakwa terus cetus kemarahan OKU - Utusan Malaysia

Ras Adiba kesal, JKMPay didakwa terus cetus kemarahan OKU

RAS ADIBA RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Aktivis sosial, Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi kesal dengan tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang tetap meneruskan projek rintis JKMPay.

Menerusi satu kenyataan di sini, Senator Dewan Negara mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) itu menyelar usaha oleh pihak tersebut kerana didakwanya jelas meminggirkan suara komuniti berkenaan.

 “Penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke arah kaedah pendigitalan itu juga langsung tidak pernah dapat pandangan dan respons terlebih dahulu daripada kami. Saya menggesa kementerian menghentikan serta-merta JKMPay dan memohon dikembalikan pembayaran menerusi EPOKU sebanyak RM450 secara tunai,” tegas beliau.

 Ahad lalu, menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Rina Harun mendakwa sistem baharu itu yang dilaksanakan sejak 1 Februari 2021 lalu diterima baik 80 peratus daripada penerimanya. Program pembayaran tanpa tunai itu buat permulaan melibatkan 2,000 penerima bantuan JKM daripada keseluruhan 550,000 penerima dengan membabitkan enam negeri yang terpilih.

 Ia susulan tindakan 50 ahli mewakili gabungan badan OKU seluruh negara menyerahkan memorandum protes kepada timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusof pada 25 Januari lepas.

 Mengulas lanjut, Ras Adiba berkata, kementerian tersebut tidak sedar pelaksanaan JKMPay mengundang kemarahan majoriti meliputi kesemua tujuh kategori OKU di Malaysia.

 “Ini mengakibatkan ramai OKU mengalami kesulitan dalam pelbagai isu dan saya memohon pertimbangan JKM segera bawa perkara itu ke mesyuarat Majlis OKU Kebangsaan,” jelasnya.

 Antaranya potongan 50 peratus daripada kadar bantuan dan unsur penindasan JKMPay ke atas golongan OKU apabila bertindak menyekat kebebasan mereka untuk mudah berbelanja.

 Pada masa sama, beliau berharap JKM mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai badan komuniti OKU bagi mendapatkan maklum balas berhubung kelemahan pelaksanaan JKMPay. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN