PADAWAN: Puncak Borneo adalah kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), justeru tiada kompromi mengenai kerusi berkenaan dengan mana-mana parti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr. Jerip Susil.
Beliau berkata, ia adalah prinsip yang telah ditetapkan dan dipersetujui dalam kalangan anggota Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Puncak Borneo adalah kerusi tradisi PBB dan ia akan sentiasa menjadi kerusi PBB.
“Seharusnya tiada kompromi mengenai perkara ini kerana bagi GPS ia adalah tempat duduk (kerusi) GPS,” tambah beliau.
Namun begitu, beliau berkata ia bergantung kepada rundingan antara pemimpin parti dari Semenanjung dan pemimpin GPS sekira perlu berlaku perubahan.
Dr. Jerip yang juga Menteri Muda Pengangkutan I Sarawak berkata demikian ketika ditanya sekiranya calon GPS akan bertanding di kerusi Parlimen Puncak Borneo ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15).
Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila pemberita bertanya kemungkinan penyandang kerusi berkenaan, iaitu Datuk Willie Mongin yang ketika ini mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diberi peluang sebagai calon GPS berbanding PBB ada PRU 15.
“Saya tiada komen. Apa yang boleh saya katakan Puncak Borneo adalah kerusi PBB,” katanya.
Selain Mambong, Tarat dan Serembu adalah dua lagi kerusi DUN di kawasan Parlimen Puncak Borneo.
Pada PRU-14, Willie yang bertanding atas tiket Parti Keadikan Rakyat (PKR) mencatatkan kejutan apabila memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo dengan majoriti 4,005 undi setelah berjaya memperoleh 18,865, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari PBB Jeannoth Sinel dan Buln Ribos dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).
Willie, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah meninggalkan PKR pada Feb 2020 dan kemudian menyertai Bersatu pada Mac 2020.
Pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri Disember tahun lalu, Willie telah menunjukkan kesungguhan beliau membantu kempen calon GPS dari PBB di DUN Mambong, Serumbu dan Tarat.
Beliau dikatakan bertindak demikian setelah menerima permintaan daripada pucuk kepimpinan GPS.
Terdahulu, Dr Jerip hadir menyaksikan penyerahan tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Mambong di Dewan Serbaguna Kampung Petag, Padawan dekat sini. -UTUSAN ONLINE










