BENTONG: Puing kayu yang wujud sejak kejadian kepala air dan banjir besar melanda Kampung Sungai Perdak pertengahan Disember tahun lalu sehingga kini masih belum dibersihkan.
Kedudukan puing kayu di tepi sungai kampung berkenaan bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah menimbulkan kebimbangan kerana menyekat aliran air sungai.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu mendapati, hanya kawasan perumahan penduduk yang dibersihkan serba sedikit, namun timbunan puing kayu masih dalam keadaan sama seperti tinjauan awal sebulan lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk, S. Karuppaya, 47, berkata, sekitar dua minggu selepas banjir melanda, ada pihak yang datang bertujuan membuat ukuran difahamkan bagi kerja-kerja mendalamkan sungai.

“Ketika itu mereka datang memberitahu akan membersihkan sisa kayu berhampiran sungai di sini bagi memudahkan aliran sungai, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.
“Namun saya lihat keadaan sungai bertambah baik kerana air semakin surut namun berharap agar tindakan segera diambil bagi membersihkan puing-puing kayu itu,” katanya di sini semalam.
Karuppaya dalam pada itu turut berharap agar pihak berwajib menyediakan penempatan baharu kerana merasakan sudah tidak selamat menetap di situ.
Ketua Kampung, Thu Yin Li, 50, berkata, penduduk kampung hanya menanti tindakan pihak berwajib untuk membersihkan puing-puing kayu di situ.
“Kalau dilihat, keadaan masih sama dan kami sebagai penduduk kampung hanya menanti tindakan dari pihak berwajib kerana aduan telah dibuat sebelum ini.
“Kami juga tertanya-tanya adakah puing kayu itu sengaja disimpan sebagai ‘kenangan’ atau ingatan sejarah terjadinya kejadian kepala air dan banjir besar di kampung ini?” Soalnya.
Yin Li dalam pada itu memberitahu, sebanyak 16 buah keluarga setakat ini memilih untuk dipindahkan ke penempatan yang lebih selamat manakala 13 buah keluarga mahu kekal di situ. – UTUSAN