Terengganu hantar Notis Amaran Pendudukan Tidak Sah kepada enam Ahli Lembaga Pengarah FGV

Terengganu hantar Notis Amaran Pendudukan Tidak Sah kepada enam Ahli Lembaga Pengarah FGV

ANGGOTA penguat kuasa menjalankan operasi penyampaian Notis 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) untuk kawasan tanah ladang yang diusahakan secara komersial tanpa kebenaran Kerajaan Negeri Terengganu, pada 30 November lalu. – Facebook DR AZMAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu hari ini menghantar Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah Di Bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kepada semua enam Ahli Lembaga Pengarah  FGV Holdings Bhd. (FGV) sebagai langkah kedua dalam tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap isu tuntutan lot ladang-ladang syarikat berkenaan.

Mereka menerima notis perundangan dengan memikul semua beban tanggungjawab atas kesalahan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, notis amaran itu dihantar secara Pos Daftar AR dan email. 

“Mengikut Akta Syarikat, semua BOD (Ahli Lembaga Pengarah) perlu memikul tanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Dalam hantaran sama, Azman menyiarkan sebahagian keratan kandungan notis tersebut yang turut menyatakan penerima notis dikehendaki mengosong atau merobohkan struktur binaan di atas tanah terlibat dalam tempoh tiga hari dari tarikh akhir notis itu dikeluarkan.

Sementara itu, menurut Azman, langkah ketiga diambil adalah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang bersidang hari ini bersetuju supaya pemulangan wang bayaran yang pernah dibayar oleh Felda kepada Kerajaan Negeri Terengganu dilakukan segera.

Katanya, pada 2011, Felda pernah membayar sejumlah bayaran dengan persetujuan sebelah pihak sahaja dengan menetapkan jumlah dan mereka membayarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah bersetuju dengan jumlah bayaran tersebut dan hanya diletakkan dalam akaun amanah serta tidak direkodkan sebagai hasil negeri.

“Wang tersebut dalam proses dipulangkan semula kepada Felda sebagai sebahagian daripada proses perundangan. 

“Contohnya, bagaimana kerajaan negeri boleh terima premium tanah dengan kadar hanya berjumlah RM1200/ekar. Mengikut Peraturan Tanah Terengganu, kadar premium tanah bagi ladang komersial ialah 5o peratus dari penilaian semasa harga tanah,” katanya. 

Menurut beliau, kerajaan negeri juga tidak pernah mengeluarkan Jadual 5A kepada Felda kerana terdapat syarat yang tidak dipatuhi agensi itu dan tidak mahu berunding. 

“Pembayaran premium tanah mesti berdasarkan jumlah yang dinyatakan dalam Jadual 5A. Apa yang berlaku adalah mereka bayar ikut kadar mereka dan memaksa malah mengugut kerajaan negeri supaya mengeluarkan geran hak milik,” dakwanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN