PRU-15 wajar diawalkan, selesaikan ketidaktentuan politik negara - Utusan Malaysia

PRU-15 wajar diawalkan, selesaikan ketidaktentuan politik negara

PETER MINOS dan AWANG AZMAN AWANG PAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan bagi menyelesaikan ketidaktentuan politik dalam negara ketika ini, kata penganalisis politik Datuk Peter Minos.

Bekas pemimpin veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob nampaknya mempunyai musuh kiri, kanan dan di atasnya yang mencadang itu dan ini serta cuba menjatuhkan beliau.

“Keadaan kini sangat sukar dan beliau mungkin terpaksa menunggu sehingga selepas Julai apabila MoU (memorandum persefahaman) dengan pihak pembangkang berakhir untuk beliau memanggil PRU,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, Minos mencadangkan PRU-15 diadakan sebelum akhir tahun ini atau suku tahun ini terakhir.

“Segalanya amat sukar untuk Malaysia. Negara ini sedang dilanda terlalu banyak masalah dalaman dan pelbagai cabaran,” katanya.

Oleh itu, Minos berpendapat Perdana Menteri harus tegas dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah-masalah negara.

Katanya, tiada masalah yang akan selesai tanpa melakukan sebarang tindakan.

Pensyarah kanan Universiti Malaya Prof. Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut bersetuju PRU disegerakan bagi menjimatkan kos kerana ia boleh diadakan serentak dengan pilihan raya.

Beliau berkata, daripada wang sebanyak itu dibelanjakan untuk mengadakan PRN demi PRN adalah lebih baik digunakan untuk membantu rakyat yang susah.

Katanya, PRU hanya diadakan sekali sahaja, bukan seperti berlaku sekarang, iaitu selepas PRN Melaka kini Johor dan dijangka pula PRN Perlis, Kedah dan Perak kerana negeri-negeri ini Barisan Nasional (BN) berpeluang besar untuk menang.

“Bukanlah satu keanehan PRU diadakan lebih awal sebelum mandat berakhir, lebih-lebih lagi dalam suasana ketidakstabilan politik, saling mencurigai antara komponen lain dalam Pakatan Nasional (PN), asyik mengugut tarik sokongan tumbangkan kerajaan sendiri yang menyebabkan ketidakstabilan kerajaan yang ada.

“Malah pelabur asing akan berasa tidak selamat apabila ketidakstabilan kerajaan terus berlaku.

“Maka, jalan terbaik ialah mengadakan PRU dengan kadar segera untuk menyelesaikan kemelut politik berpanjangan dan mendapat mandat segar daripada rakyat.

“Semakin cepat mengadakan PRU semakin cepat mandat baharu dan segar rakyat dapat diperoleh,” katanya.

Justeru, beliau berkata PRU awal boleh sahaja diadakan sekali dengan PRU Johor, atau diadakan sebelum bulan puasa tahun ini.

“Selepas diadakan PRU maka perlu menghormati keputusan dan mandat rakyat dan bergerak ke depan untuk membina kestabilan politik dan keyakinan oleh majoriti rakyat.

Tambahan pula, katanya kes Covid -19 mampu dikawal dengan adanya vaksinisasi dan dos penggalak, berdasarkan kepada pengalaman PRN di Melaka dan Sarawak dengan syarat SOP yang lebih ketat ketika berkempen.

Justeru, kata beliau Covid-19 tidak lagi relevan untuk dijadikan alasan untuk menangguhkan PRU.

Menurut Awang Azman, sebaliknya pemimpin-pemimpin parti-parti yang akan bertanding tidak yakin parti mereka akan menang.

Katanya, mereka sukar untuk menarik sokongan dan perlukan masa untuk mengukuh dan menguatkan parti terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk mengadakan PRU.

Menurut Awang Azman, langkah terbaik untuk PRU kali ini dalam keadaan selamat seperti PRN 12 Sarawak yang lalu ialah mengetatkan SOP ketika PRU bagi memastikan wabak Covid- 19 terus terkawal dan tidak tersebar atau meningkat kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya