PARIT BUNTAR: Gerakan Perak menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng berkata, parti itu sudah mempunyai senarai nama bakal calon untuk ditampilkan di negeri ini pada PRU-15.
Menurutnya, Gerakan mempunyai peluang di Perak kerana tiada parti yang dominan ketika ini di Perak.
“Tiada parti yang mendominasi yang menang majoriti kerusi DUN pada PRU-14. Kedudukan ini diakui sendiri oleh Menteri Besar Perak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat Negeri Perak di Taman Kerian Permai Parit Buntar dekat sini hari ini.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Tean Seng berkata, Gerakan akan berusaha memikat hati pengundi tradisional mereka di negeri itu.
Beliau berharap pengundi-pengundi Gerakan akan memberi sokongan penuh kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor.
“Kita harap pengundi Cina akan menyokong PN dalam PRN Johor nanti kerana calon PN yang ditampilkan bersih tanpa sebarang titik hitam bersangkut dengan mana-mana kes mahkamah.
“Pilihlah calon PN yang berkaliber dan yang boleh bekerja untuk rakyat dalam PRN ini,” katanya. – UTUSAN