SHAH ALAM: Kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak mustahil akan dibentuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ini kerana, kedua-dua parti itu dikatakan mempunyai matlamat yang sama dalam siri pilihan raya di sana iaitu menafikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada membentuk kerajaan negeri baharu walaupun dalam masa sama memberi saingan antara satu sama lain.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walau bagaimanapun, kedua-dua parti itu mempunyai kelebihan masing-masing untuk menewaskan BN di Johor.
“Benar, MUDA ada memberi saingan dalam pengundi-pengundi baharu khususnya berumur 18 tahun. Ini memberi satu cabaran kepada kami di peringkat sayap pemuda Bersatu dan PN untuk bekerja lebih keras.
“Bagaimanapun saya yakin MUDA punya kekuatan lebih kepada untuk mengambil pengundi yang menyokong Pakatan Harapan (PH), manakala kami pula berentap dengan UMNO untuk memenangi hati dan jiwa pengundi muda di kawasan Melayu atau Bumiputera.
“Jadi, Insya-Allah, kita sebenarnya tidaklah bertentang sangat, malah MUDA kalau mereka boleh nafikan pengundi BN di kawasan-kawasan tertentu, begitu juga. Kita ada common goal is to deny BN win in Johor,” katanya ketika ditemui di sini.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas sebilangan ahli Bersatu yang keluar parti di Johor seperti di Bahagian Tanjung Piai, Pontian dan Cawangan Molek Harmoni, Johor Bahru baru-baru ini.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, bilangan ahli tidak boleh menjadi kayu ukur kepada kekuatan sesebuah parti, sebaliknya penentuan itu dibuat oleh pengundi menerusi pilihan raya.
“UMNO sendiri pun yang mendakwa ada tiga juta ahli. Benar ke tiga juta itu masih kekal atau pun semakin menyusut, masuk ke Bersatu, Pejuang, MUDA atau PKR? Itu tidak memberi jaminan. Jadi, saya rasa biarlah medan demokrasi PRN Johor menentukan sama ada Bersatu relevan ataupun tidak.
“Insya-Allah saya yakin dengan jentera yang ada, sentimen kepada Muhyiddin yang masih kukuh dan sentimen negatif ke atas UMNO serta parti-parti lain yang bertanding mampu memberi kejutan kepada UMNO di kubu kuat mereka di Johor,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE