KLUANG: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan dua lagi calon mereka dari DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Chew Chong Sin akan mempertahan kawasan itu manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman berpindah ke DUN Mahkota.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu majlis hari ini.
Semalam, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dinamakan semula untuk mempertahan kerusi DUN Paloh yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Chong Sin menang 29,559 undi di DUN Mengkibol dalam PRU-14 selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chin Sim Lai yang hanya mendapat 10,333 undi.
Muhammad Taqiuddin pula mengatasi Datuk Tee Siew Kiong dari BN dengan majoriti 3,395 di Pulai Sebatang yang terletak dalam Parlimen Pontian.
Sebelum ini, kerusi Mahkota disandang bekas ADUN Amanah, Muhamad Said Jonit yang kemudian meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR bersama bekas ADUN Senggarang, Khairuddin A. Rahim dan bekas ADUN Serom, Faizul Amri Adnan. – UTUSAN ONLINE