KUCHING: Seramai 23 orang terdiri daripada 21 lelaki dan dua perempuan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, suspek yang berusia 20 hiNgga 41 tahun ditahan oleh Bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam beberapa serbuan di beberapa lokasi di daerah Kuching dari 31 Januari hingga 6 Februari.
Katanya, mereka terbabit ditahan semasa polis membuat serbuan di Kampung Pasir Pandak, Kampung, Kampung Pinang Jawa, Jalan Tabuan dan Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.
Tambah Ahsmon lagi semasa serbuan dibuat, pihaknya turut berjaya merampas sebanyak 16.75 gram dadah jenis syabu.
“Empat suspek didapati memunpai pelbagai rekod jenayah lampau yang berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan akhbarnya hari ini.
Beliau memberitahu, daripada kesemua kes terbabit, dua kes diambil tindakan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, enam kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 11 kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE