PETALING: Pembahagian bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di antara setiap parti komponen di dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka akan selesai selewatnya esok bagi menyelesaikan beberapa masalah.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat pertindihan di antara pembahagian kerusi namun akan diselesaikan segera oleh pasukan Setiausaha Agung yang mengetuai pasukan perundingan parti itu.
“Rundingan bersama Parti Islam SeMalaysia (Pas) sudah selesai, cuma terdapat pertindihan dengan parti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tetapi tidak banyak cuma dalam dua ke tiga kerusi sahaja.
“Apabila perundingan sudah diselesaikan, kami akan maklumkan nanti,” katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu turut berharap prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRN Johor tidak terlalu ketat.
“Jangan sampai calon tidak boleh berkempen. Misalnya, calon tidak boleh jumpa penduduk, malah nak tunjuk muka pun tak boleh jadi mungkin perlu pakai media sosial tetapi itu tidak memadai.
“Pengundi dan orang kawasan nak lihat calon, untuk menilai perwatakan, perawakan, tutur bahasa, nak pilih wakil rakyat bukan senang,” ujarnya.
Bercakap mengenai Keluarga Malaysia, Bersatu juga menegaskan tidak akan menarik sokongan daripada kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin berkata, Bersatu tidak akan mengambil langkah mementingkan diri dengan menarik sokongan hingga menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan terhadap tindakan tersebut.
Menurut beliau, rakyat masih sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 dan juga ekonomi yang menekan dalam membina kehidupan semula jadi tindakan menarik diri daripada kerajaan semasa adalah tindakan yang tidak wajar dilakukan.
“Bersatu sentiasa fikir tentang kepentingan rakyat dan negara, supaya rakyat tidak terkorban disebabkan langkah bodoh kita dan hanya fikir kepentingan parti. Nanti rakyat akan menyoal apa yang kami buat di dalam keadaan negara sedang dilanda varian Omicron.
“Rakyat akan fikir ahli politik pada masa kini hanya memikirkan tentang parti dan kuasa sahaja. Saya bukan pemimpin yang bercakap tentang kuasa tetapi saya bercakap mengenai nasib rakyat,” katanya. – UTUSAN