PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mahu rang undang-undang (RUU) anti lompat parti perlu dilaksanakan seperti dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) antara pihaknya dan kerajaan.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan, menerusi MoU tersebut, RUU itu perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen iaitu sebelum atau pada 24 Mac ini.
“Majlis Presiden mengambil maklum siri libat urus berhubung RUU anti lompat parti bersama ahli-ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam. RUU ini bertepatan dengan hasrat PH dan kerajaan seperti termaktub di dalam Perkara 2.1 MoU di antara kerajaan dan PH.
“Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen iaitu sebelum atau pada 24 Mac.
“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU ini perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MoU tersebut,” kata kenyataan itu hari ini. – UTUSAN