Perbandingan berupa binatang, Abdul Hadi hanya ikut sunnah gaya bahasa al-Quran - Khairuddin - Utusan Malaysia

Perbandingan berupa binatang, Abdul Hadi hanya ikut sunnah gaya bahasa al-Quran – Khairuddin

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali tampil mempertahankan penggunaan bahasa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. 

Beliau menyifatkan kenyataan Presiden Pas sebelum ini yang menggunakan binatang sebagai perbandingan sebagai mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran. 

Katanya, ini berikutan gaya bahasa al-Quran kaya dengan pelbagai peribahasa dan perbandingan yang merupakan acuan yang menzahirkan sesuatu makna dalam bentuk yang lebih terasa dan lekat dalam pemikiran manusia. 

“Antara peribahasa yang banyak dalam al-Quran ialah melibatkan binatang. Al-Quran dalam Surah al-A’raf ayat 175-176 menggambarkan manusia berilmu yang meninggalkan ilmunya tanpa amal seumpama anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya ketika lapar atau kenyang. Anjing adalah binatang yang najis.

“Dalam Surah al-Jum’ah ayat 5 dibandingkan pula golongan berilmu yang tak beramal ini dengan keldai yang menanggung bebanan  yang bermanfaat. Demikianlah al-Quran menggunakan binatang sebagai perbandingan. 

“Justeru, apabila Presiden Pas menggunakan perbandingan berupa binatang dalam banyak ucapan, beliau (Abdul Hadi) hanyalah mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran. 

“Sekiranya beliau dituduh “ahli zoologi” bermaksud ahli ilmu tentang binatang dengan tujuan mempersendakan, ia seumpama memperkecilkan juga gaya bahasa al-Quran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kritikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan Abdul Hadi menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

Sindiran Ahmad Zahid yang mengesyorkan Presiden Pas itu bertukar kerjaya hadir susulan gelaran ‘itik patah kaki’ kepada UMNO sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hadi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas itu menambah, bahasa Melayu juga kaya dengan perbandingan binatang kerana mereka hidup dalam alam yang dikelilingi oleh pelbagai jenis binatang. 

Katanya, antara binatang yang sering dijadikan perbandingan dalam peribahasa ialah ubur-ubur, ikan, harimau, gajah, kera, anjing, serigala, kambing, kerbau, babi, ayam, rusa, kancil, singa, cacing, rama-rama, kura-kura, monyet, belalang, siput, arnab, merak, pipit, enggang, ular, kucing, katak, lembu, kutu, badak dan kuda. 

“Bagai ubur-ubur airnya hitam bermaksud daripada tingkah laku dan bahasanya, diketahui orang itu jahat. Seperti ikan dalam belanga bermaksud memperoleh keuntungan yang tidak akan terlepas lagi.

“Antaranya lagi, gajah lalu rumpainya layu, seperti harimau beranak kecil, cacing hendak menjadi naga, seperti anjing dan kucing, kepala tersangkut dengan kulit babi, adakah buaya menolak bangkai, seumpama lintah darat, jika kepalanya ular takkan ekornya belut, seperti nyiur ditebuk tupai, musang berbulu ayam dan banyak lagi. 

“Kesimpulannya, perbandingan dengan binatang adalah sunnah al-Quran dan adat Melayu yang kaya dengan bahasa. Jika mahu dikatakan ahli zoologi maka sememangnya al-Quran dan bangsa Melayu adalah ahli zoologi yang kaya dengan ilmu tentang binatang,” jelasnya.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya