Penunggang Honda EX5 maut dilanggar lori

Penunggang Honda EX5 maut dilanggar lori

Amang seksual
RAMLI KASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan keluar simpang secara mengejut menyebabkan seorang penunggang maut apabila motosikal jenis Honda EX5 dinaikinya dirempuh sebuah lori yang tidak sempat memberhentikan kenderaannya di Jalan Klang-Teluk Intan di sini, semalam.

Lelaki berusia 36 tahun dari Bandar Baru Kuala Selangor itu maut sementara pemandu lori terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku pukul 5.15 petang di kilometer 46 berhampiran Bangunan UMNO.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima aduan trafik kira-kira pukul 6 petang mengenai satu kemalangan jalan raya di jalan berkenaan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan lori.

“Siasatan awal mendapati, motosikal terbabit dalam perjalanan dari Kuala Selangor menuju ke Bukit Rotan. Ketika di tempat kejadian, penunggangnya disyaki keluar dari simpang sebelah kiri secara mengejut.

“Tindakan itu menyebabkan pemandu lori berkenaan yang berada di jalan lurus, di lorong kanan cuba untuk memberhentikan kenderaan, namun tidak sempat mengelak lalu melanggar penunggang berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menambah, mayat penunggang motosikal yang bekerja sebagai pemandu lori itu dibedah siasat hari ini sebaik sahaja keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh selepas dibawa ke Hospital Tanjong Karang, semalam.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN