MUAR: Secara hakikatnya UMNO tidak lemah dan terus kukuh hingga kini, namun kesilapan percaturan dan memilih tarikh pilihan raya yang salah menjadi antara punca mengapa Barisan Nasional (BN) hanya memperolehi 30 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 pada tahun 2022 lalu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan masa yang tepat seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak, Melaka dan Johor menjadi bukti pemilihan masa pilihan raya yang tepat apabila ketika itu mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut serta berkempen.
Katanya, sekiranya PRU 15 dilakukan selang hanya beberapa bulan selepas PRN Johor dilakukan, keputusannya pasti tidak akan berlaku seperti sekarang yang menyaksikan BN hanya mempunyai 30 kerusi dan 28 daripadanya adalah UMNO.
“Apabila PRU dilakukan selepas Datuk Seri Najib dipenjarakan, pandangan masyarakat terus berubah dan sokongan terus merosot menyebabkan BN yang telah menerajui pembangunan negara sejak lebih 60 tahun ditolak oleh rakyat.
“Sebagai bukti beberapa Pilihan Raya Kecil yang UMNO sebagai wakil calon seperti di Nenggiri dan Mahkota, kita memperolehi majoriti kemenangan besar.
“Oleh yang demikian, pada masa akan datang setiap percaturan dan pemilihan masa untuk melakukan sesuatu perkara besar perlulah diteliti dengan baik bagi membolehkan kemenangan mutlak dapat diperolehi,”katanya.
Ahmad Maslan berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Bakri, Safiah Semon, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bakri, Muar Omar dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Bakri, Normah Kassim.
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor turut menyatakan gelaran UMDAP kepada UMNO adalah tidak tepat dan salah kerana Kerajaan Perpaduan ditubuhkan berasaskan kerjasama BN dan PH yang turut disertai 16 parti lain.
Ujarnya,selain itu keputusan UMNO untuk menyertai Kerajaan Perpaduan adalah untuk menyelamatkan negara yang ketika itu sudah memasuki hari ke 5 tiada kerajaan ditubuhkan selepas PRU diadakan.
“Paling penting adalah kesanggupan UMNO untuk menyertai Kerajaan Perpaduan adalah sebagai menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agung ketika itu yang mahukan kerajaan ditubuhkan segera.
“Sekiranya BN enggan menyertai Kerajaan Perpaduan ketika itu, kita tidak tahu berapa lama negara ini akan berada dalam situasi tiada kerajaan dan memungkinkan kerajaan dibawah pemerintahan Angkatan Tentera akan berlaku,” katanya. – UTUSAN










