GEORGETOWN: Pengguna di negeri bukan sahaja tersepit dengan isu terputus bekalan ayam standard dan kesukaran memperoleh minyak peket bersubsidi, malah ada peniaga mengehadkan pembelian 10 biji telur ayam atau sepapan setiap seorang.
Rata-rata mereka mula merungut mengenai perkara tersebut termasuk ada yang memuat naik status menerusi saluran media sosial Facebook dan WhatsApp sejak kelmarin.
Tinjauan Mingguan Malaysia di empat buah kedai runcit dan pasar raya mini di daerah Barat Daya di sini mendapati, tiada langsung bekalan telur bagi Gred A, B, C dan D dijual.
Di sebuah pasar raya mini di daerah sama pula hanya terdapat telur masin manakala penyelianya mendakwa bekalan itu sudah tidak dihantar sejak Rabu minggu lalu.
Seorang pengguna, Ali Tahir, 36, berkata, dia terkejut apabila peniaga di kedai runcit dan pasar raya mini didakwa mula mengehadkan jualan barangan keperluan itu sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, tindakan pengusaha premis menetapkan kuantiti pembelian telur ayam bagi kesemua gred memberi kesan kepada pengguna terutama untuk kegunaan harian.
“Kali ini, kami bukan sahaja berdepan kesukaran memperoleh bekalan telur ayam malah kuantiti pembeliannya juga turut dikurangkan hanya 10 biji setiap seorang.
“Ingatkan minyak masak peket satu kilogram sahaja yang dihadkan pembelian termasuk sukar diperoleh, kali ini telur ayam pun mengalami situasi sama,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga burger yang mahu dikenali sebagai Aziz, 39, pula memberitahu, dia jenuh mencari stok telur ayam bagi gred A dan B di pasar raya mini dan pasar raya besar pagi kelmarin.
“Dua hari keluar mencari bekalan telur ayam gred A dan B. Ada pun telur bersaiz kecil iaitu Gred C atau D yang dijual pada harga RM12 hingga RM14 sepapan,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia menggesa pihak berkuasa berkaitan segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah itu yang menghimpit pengguna khususnya para peniaga kecil. – UTUSAN ONLINE