KLANG: Penduduk Flat Pandamaran Jaya di sini lega apabila sampah pukal yang dilonggokkan berhampiran kediaman mereka dan dibiarkan lebih sebulan, sudah pun dibersihkan.
Menurut Pengerusi Selangor People’s Voice (SPV), M.Paramasivan, sampah pukal tersebut diangkut semalam selepas penduduk memanggil pemberita dan membuat aduan kepada pihak berwajib.
“Penduduk akhirnya melahirkan rasa syukur kerana sampah pukal yang berlonggok telah dibersihkan pihak berkuasa. Sebelum ini keadaan sampah berlonggok tersebut menyebabkan penduduk runsing kerana tikus membiak di kawasan itu,”katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan penduduk Flat Pandamaran Jaya kecewa kawasan kediaman mereka dijadikan pusat pembuangan sampah oleh pihak luar melibatkan sampah pukal seperti sofa dan tilam serta sampah dapur.
Menurut wakil penduduk, A.Selvakumaran,61, masalah tersebut telah berlarutan sejak sebulan yang lalu dan pihaknya berharap Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil tindakan proaktif mengatasi masalah tersebut.
Paramasivan berkata, penduduk berharap pihak berkuasa sentiasa memantau kehadiran orang luar yang menjadikan tempat pembuangan sampah flat tersebut sebagai tempat pembuangan sampah mereka.
“Sebaiknya pihak berkuasa tempatan mewujudkan pusat pembuangan sampah untuk penduduk Pandamaran Jaya agar masalah di Flat Pandamaran Jaya tidak berulang,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE