Pemandu kereta positif dadah, tiada lesen cuba lari daripada polis - Utusan Malaysia

Pemandu kereta positif dadah, tiada lesen cuba lari daripada polis

KERETA yang digunakan seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah yang cuba melarikan diri daripada polis di Kilometer 15 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh dadah memecut kenderaan dalam cubaan melarikan diri selepas memandu tanpa lesen serta cukai jalan tamat tempoh di Kilometer 15 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, Unit Peronda Lebuhraya SPDH Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis mengarahkan kenderaan tersebut untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan namun pemandu kenderaan enggan memberi kerjasama dan melarikan diri menghala susur keluar ke Lukut.

“Pemandu kenderaan tersebut turut memandu secara berbahaya dengan melawan arus dan berjaya ditahan di tepi jalan Taman Sentosa, Lukut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Muhamad Mustafah, pemeriksaan mendapati terdapat empat orang penumpang dalam kenderaan suspek iaitu isteri dan anak mereka.

“Suspek yang ditangkap berusia 25 tahun dan mempunyai lapan rekod lampau kes jenayah dan dadah malah ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

“Pihak polis telah mengeluarkan saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu,” katanya.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban pagi ini untuk proses permohonan reman.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun, atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya